Ekstremisme Boleh Lumpuhkan Masyarakat Malaysia - Joseph Kurup

Diterbitkan: Khamis, 5 Februari 2015 6:04 PM

Tan Sri Joseph Kurup

(Ubah saiz teks)

KLANG: Ekstremisme bukan sahaja menjadi ancaman kepada perpaduan dan keselamatan negara, tetapi ia juga boleh memusnahkan masyarakat di Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup.

"Ekstremisme dan sikap tidak bertoleransi, jika tidak dikawal, boleh melumpuhkan wawasan kita untuk membina masyarakat yang adil dan seimbang.

"Dan, membina satu masyarakat yang adil dan seimbang di mana rakyat berbilang kepercayaan hidup bersama dalam suasana harmoni dan damai akan menjadi satu impian yang mustahil untuk dicapai, '' katanya.


Kurup, yang berucap di World Interfaith Harmony Week, acara yang dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional pada Khamis, berkata adalah perlu untuk kumpulan 'majoriti senyap', yang berpegang kepada kesederhanaan, tampil ke hadapan dan menyatakan pendirian.

"Mereka mesti berani dan tampil ke hadapan untuk menentang kumpulan pelampau sebelum kumpulan-kumpulan ini dapat mencari zon selesa untuk mengembangkan pemikiran mereka di negara yang kita cintai ini, '' katanya.

Beliau memberi contoh beberapa insiden di mana rakyat Malaysia telah berkumpul bersama-sama tanpa mengira bangsa dan agama untuk memberikan keselesaan kepada mereka yang memerlukan.

Kurup berkata ia termasuklah kes banjir baru-baru ini di beberapa negeri pantai timur.

"Perkara yang sama dilihat dalam insiden MH370 dan MH17 di mana rakyat yang berbilang agama sama-sama menyatakan kesedihan, dan bersama memberi penghormatan kepada mangsa mengikut kepercayaan masing-masing, '' katanya.

Beliau menambah bahawa "Kepercayaan kepada Tuhan", yang merupakan tonggak utama dalam Rukunegara, akan membantu rakyat Malaysia menghormati antara satu sama lain, dan juga hidup sebagai masyarakat yang aman dan harmoni.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan