Jika Umno Rasis, Cina Dan India Tidak Seperti Hari Ini - Syed Ali

Diterbitkan: Rabu, 4 Februari 2015 3:18 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menafikan dakwaan bahawa Umno sebuah parti rasis berikutan tindakan mempertahankan kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu boikot peniaga Cina baru-baru ini.

Sebaliknya beliau berkata, tindakan tersebut dibuat sebagai usaha untuk memperjuangkan hak pengguna semua kaum di negara ini.

"Kita bukan rasis. Sekiranya kita rasis, Cina dan India tidak boleh merasai nikmat seperti yang mereka dapat sekarang. Kita dah memerintah negara lebih 60 tahun, kaum Cina dan India turut mendapat manfaatnya. Jadi jangan kata kita rasis," katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang media perhimpunan ketua-ketua Umno bahagian di Kelab Tasik Putrajaya di sini, Rabu.

Seramai 92 Ketua Umno Bahagian yang diketuai Datuk Musa Sheikh Fadzir (Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam) hadir sebagai tanda sokongan terhadap kenyataan Ismail Sabri.

Jelas Syed Ali, kenyataan Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sengaja diperbesar-besarkan pembangkang untuk menjejaskan reputasi Umno di mata rakyat.

"Isu ini sengaja diperbesar-besarkan, saya tak tahu mungkin untuk menutup sesuatu isu. Oleh itu, mereka besar-besarkan dan viralkan kenyataan tersebut," katanya.

Beliau yakin Ismail Sabri sebenarnya mahu memastikan rakyat mendapat nikmat hasil daripada penurunan harga minyak.

"Minyak naik harga barang naik, minyak turun harga pun naik. Jadi harga kena diturunkan senada dengan harga minyak turun. Ia tidak adil untuk rakyat. Jadi kami berjuang untuk semua kaum termasuk bukan Melayu," katanya.

Syed Ali berkata, Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan peniaga Cina itu kerana majoriti ekonomi di negara ini dimonopoli oleh golongan tersebut.

"Orang Melayu ambil bekalan daripada orang Cina. Orang India pun ambil bekalan daripada mereka. Mereka perlu turunkan dulu harga baharulah peniaga di bawah akan ikut. Kalau yang diatas tak nak turun harga bagaimana yang dibawah nak turunkan?," soalnya.

Sementara itu, Musa turut mendesak MCA untuk mengambil tindakan terhadap Ketua Pemudanya Chong Sin Woon kerana bersekongkol dengan DAP untuk menyelar kenyataan Ismail Sabri, rakan dalam parti komponen.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya kerajasama mereka dan mendesak presiden MCA untuk mengambil tindakan tegas ke atasnya yang secara terang-terangan bersekongkol dengan DAP," katanya.

Malah, Musa turut meminta Chong untuk menjelaskan tindakan beliau yang sanggup duduk semeja bersama DAP dan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggugurkan Ismail Sabri daripada jawatan menteri.

"Beliau tiada hak untuk mengarahkan perdana menteri kerana itu adalah hak mutlak PM yang melantik menteri kabinet," katanya.

Justeru, beliau berkata kesemua ketua Umno bahagian seluruh negara menyokong penuh kedudukan Ismail Sabri selaku Menteri Kabinet dalam kerajaan Malaysia hari ini.

Tags / Kata Kunci: Umno , DAP , Cina , MCA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan