PM Dijangka Keluarkan Kenyataan Isu Boikot Peniaga Cina - Ismail Sabri

Diterbitkan: Rabu, 4 Februari 2015 1:44 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengeluarkan satu kenyataan berhubung isu boikot peniaga Cina seperti yang dinyatakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Ismail Sabri Yaakob, pada petang Rabu.

Ismail Sabri berkata, sebelum kenyataan itu dikeluarkan beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri terlebih dahulu.

"Saya tak boleh sebut apa-apa sebab PM akan umumkan apa yang dibincangkan dalam kabinet, apa pandangan kabinet. Perdana menteri akan panggil saya petang ini," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bersama 50 ketua Umno bahagian di Kelab Tasik di sini, Rabu

Beliau berkata, kenyataan tersebut dibuat hasil perbincangan selepas mesyuarat Kabinet pada pagi Rabu.

Malah, katanya beliau juga akan mengeluarkan satu kenyataan media sejurus selepas pengumuman perdana menteri nanti.

Sementara itu, ditanya mengenai ugutan yang beliau di laman Facebook, Ismail Sabri memberitahu, ia perkara biasa dan menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan terhadap golongan tersebut.

"Itu perkra biasa... ada orang suka ada orang tak suka dengan kenyataan saya. Ada orang yang sanjung saya... ada orang ugut saya. Itu normal.

"Negara kita ada undang-undang, kalau ada orang mengugut mereka (polis) patut ambil tindakan," katanya.

Ketika ditanya mengenai desakan Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon yang mahu beliau dipecat daripada jawatannya, Ismail Sabri berkata tindakan tersebut salah kerana pelantikan menteri adalah kuasa mutlak perdana menteri.

"Itu salah tak ada siapa boleh minta perdana menteri pecat sesiapa... pelantikan menteri adalah kuasa perdana menteri. Jangan sesekalipun gesa PM untuk pecat sesiapa," katanya.

Ditanya adakah kenyataan tersebut mencetuskan perbalahan di kalangan parti komponen, Ismail Sabri berkata beliau masih menerima sokongan daripada Ketua Wanita MIC dan sebahagian pemuda parti tersebut.

"Tak semua berbalah... ketua wanita MIC dan sebahagian pemudanya menyokong pandangan saya," katanya.

Malah, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata pandangan beliau sepatutnya dilihat dari sudut yang lebih luas dengan mengambil kira kesan tindakan peniaga enggan menurunkan harga barang.

"Kita tengok keseluruhannya jangan tengok secara sempit. Saya difahamkan sekarang ini peniaga setuju turunkan harga akibat tekanan tersebut. Semua rakyat mendapat manfaatnya," katanya.

Tags / Kata Kunci: Cina , Boikot , PM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan