Persekutuan Pengakap Kesal Tahanan Lokap Pakai Baju Pengakap

Diterbitkan: Rabu, 4 Februari 2015 6:26 PM

Awang Zaini Suntim

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Persekutuan Pengakap Malaysia kesal berhubung isu seorang lelaki warga asing memakai baju pengakap semasa ditahan atas kesalahan merogol, baru-baru ini. 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Malaysia Datuk Awang Zaini Suntim berkata perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana ia secara tidak langsung mencalar nama baik persekutuan berkenaan.

"Segala keperluan rasmi barangan pengakap hanya boleh dimiliki oleh anggota pengakap yang berdaftar secara rasmi dan haruslah warganegara Malaysia sahaja. 

"Timbul persoalan, bagaimana seorang tahanan memakai baju rasmi persatuan kami, dan diharap perkara sebegini tidak berlaku lagi pada masa akan datang,"katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah akhbar tempatan semalam, yang memaparkan gambar lelaki warga asing memakai baju aktiviti pengakap semasa dihantar ke lokap selepas dibicarakan di Mahkamah Sesyen Tawau.

"Kita berasa kesal dan berharap pihak berkaitan tidak lagi membenarkan orang yang dituduh atau dijatuhi hukuman di mahkamah memakai baju pengakap. Tahanan di lokap tidak seharusnya dibiarkan memakai baju pengakap termasuklah semasa hendak dibawa ke mahkamah," katanya. 

Beliau berkata pihaknya khuatir masyarakat mempunyai persepsi buruk terhadap anggota pengakap sekiranya situasi seumpama itu berlaku. Sehubungan itu, Awang Zaini yang juga Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sabahberkata pihaknya akan mengemukakan usul supaya baju atau keperluan pengakap tidak lagi dijual secara bebas di pasaran. 

"Selain itu, kita berharap baju atau barangan kelengkapan sebagai anggota pengakap tidak dijual secara bebas di pasaran kepada orang yang bukan ahli kita. Kita tidak mahu nama baik pengakap tercalar kerana perkara yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan pertubuhan ataupun anggota pertubuhan ini. 

"Kita mungkin mencadangkan hanya premis atau tukang jahit berdaftar dengan kita yang berhak mengeluarkan kelengkapan pengakap selepas ini," katanya. -BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Persekutuan Pengakap Malaysia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan