Old Town White Coffee Sahkan Status Halal

Diterbitkan: Rabu, 4 Februari 2015 8:43 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Restoran Old Town White Coffee berkata semua makanan dan minuman yang dijual di rangkaiannya adalah halal dan menafikan mempunyai huhung kait dengan mana-mana parti atau ahli politik.

"Kami memahami betapa pentingnya pensijilan halal kepada rakan-rakan Muslim kita. Old Town White Coffee tidak menjual apa-apa produk makanan yang tidak halal atau alkohol.

"Malah semua makanan dan minuman kami disediakan dengan cara yang halal," kata Pengerusinya, Datuk Dr Ahmed Tasir menerusi kenyataan pada Selasa.

Ahmed berkata proses pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah menyeluruh dan ketat dan semua restoran serta dapur rangkaian itu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

"Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan semua cawangan kami di Malaysia kekal disahkan halal," katanya.

Syarikat itu mengeluarkan kenyataan selepas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam posting Facebook mempersoalkan status halal restoran berkenaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan