Muhyiddin Sedih Penerokaan Tanah Cameron Highlands Masih Berlaku

Diterbitkan: Selasa, 3 Februari 2015 7:49 PM

Muhyddin Yassin.

(Ubah saiz teks)

CAMERON HIGHLANDS: Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa meluahkan rasa dukacita dengan pencerobohan di tanah tinggi Cameron Highlands yang terus berlaku meskipun operasi penguatkuasaan giat dijalankan. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, lebih membimbangkan lagi apabila pihak berkenaan begitu berani sehingga mencabar pihak berkuasa dan jika keadaan ini berterusan beliau tidak pasti sehingga bila keadaan tanah yang masih ada di Cameron Highlands boleh bertahan.

"Saya agak dukacita... walaupun sudah tahu berkenaan pencerobohan ini tetapi apabila melihat secara dekat hampir sebahagian kawasan yang ditutup plastik merupakan kawasan pertanian yang diceroboh dan pencerobohan berlaku semasa proses penguatkuasaan terhadap penceroboh sedang berjalan.

"Sudah dua hari saya berada di sini dan dapat lihat Cameron Highlands sudah parah dan jika tidak ada satu tindakan tegas dan berkesan diambil, saya tak tahu berapa lama lagi kawaasan ini boleh bertahan," katanya. 

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan mengejut ke Cameron Highlands untuk melihat perkembangan terkini usaha baik pulih dan pemantauan pihak berkuasa berikutan insiden banjir lumpur dan tanah runtuh di kawasan peranginan itu pada November tahun lepas.

Muhyiddin, yang juga pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Banjir Kilat di Cameron Highlands, berkata walaupun lebih 500 pegawai dan kakitangan daripada pelbagai jabatan dan agensi terlibat dalam operasi membersih dan membanteras penerokaan tanah, namun beliau mendapati ia belum memadai.

Ini, katanya, memandangkan akibat daripada aktiviti pencerobohan adalah teruk dan memberi kesan yang membimbangkan kepada alam sekitar.

Beliau bagaimanapun yakin penguatkuasaan yang berkesan boleh dilaksanakan dengan menambah petugas penguatkuasa serta memperbanyakkan alatan yang boleh membantu dalam kerja-kerja penguatkuasaan.

Antara perkara yang boleh dilaksanakan adalah mewujudkan pos-pos kekal di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan pencerobohan dengan meletakkan pegawai penguatkuasa sehingga proses penguatkuasaan dan pembersihan yang sedang dilaksanakan selesai dijalankan, kata timbalan perdana menteri.

Beliau berkata perkara itu akan diputuskan selepas mendapat pandangan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan kerajaan negeri Pahang pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Banjir Kilat di Cameron Highlands akan datang.

Muhyiddin berkata, langkah itu bagi memastikan pemantauan lebih ketat dapat dilakukan kerana dikhuatiri pencerobohan boleh berulang walaupun tindakan telah diambil. 

Bagi mengelak insiden ancaman terhadap pihak berkuasa terus berlaku, timbalan perdana menteri berkata, beliau akan mencadangkan supaya kawasan-kawasan yang sering berlaku kejadian itu diwartakan sebagai kawasan keselamatan.

"Langkah ini perlu diperhalusi seperti keperluan membentuk pasukan khas bagi menjaga kawasan itu daripada dimasuki pihak luar sekali gus boleh menyekat penceroboh daripada memasuki kawasan tumpuan berkenaan," katanya.

Ditanya apakah hasrat mengembalikan Cameron Highlands sebagai kawasan pelancongan unggul dapat dicapai segera, Muhyiddin berkata beliau tidak optimis perkara itu dapat dilakukan sehinggalah kerja-kerja penguatkuasaan menghalang pencerobohan dapat dilakukan sepenuhnya.

Kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh di Kampung Raja, Pekan Ringlet dan Lembah Bertam di Cameron Highlands pada 5 November lepas, mengakibatkan lima kematian dan lebih 90 mangsa daripada 28 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan, di Dewan Serbaguna Orang Ramai di Ringlet.

Penerokaan tanah secara haram dikatakan antara faktor berlaku banjir dan tanah runtuh di daerah tanah tinggi ini.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan