Lebih Banyak Kampung Terpencil Akan Dibekalkan Tenaga Solar

Diterbitkan: Ahad, 1 Februari 2015 2:50 PM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Akademi Sains Malaysia (ASM) sedang bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Kerajaan Tempatan bagi mengenal pasti lebih banyak kawasan terpencil di negara ini yang perlu dibekalkan tenaga solar.

Ketua pegawai operasi ASM Hazami Habib berkata, Mosti dan ASM memerlukan bantuan dua kementerian itu untuk memudahkan urusan mengenal pasti kampung yang memerlukan kemudahan tersebut.

Katanya Malaysia memiliki kelebihan untuk memanfaatkan tenaga boleh diperbaharui seperti solar, angin, ombak dan biomas untuk mengelaknya terlalu bergantung pada bahan bakar fosil.

Hazami berkata penggunaan tenaga solar boleh membantu meningkatkan kemajuan ekonomi masyarakat, terutama golongan miskin di luar bandar.

"Ideanya ialah apabila mereka mempunyai akses kepada tenaga, mereka boleh melibatkan diri dalam perniagaan kecil, contohnya industri desa untuk meningkatkan taraf kehidupan," katanya kepada Bernama.

Hazami berkata projek itu akan dibiayai Mosti, termasuk dari segi penyediaan teknologi, set jana kuasa dan antena solar, di samping mendidik penduduk cara menyenggara set berkenaan.

Bagaimanapun, kata beliau sekiranya berlaku kerosakan serius terhadap set berkenaan, Mosti akan menghantar jurutera untuk membaikinya. 



Tags / Kata Kunci: tenaga solar , Mosti , ASM , Hazami Habib

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan