Kunjungan Jokowi Eratkan Lagi Hubungan Malaysia, Indonesia - Duta

Diterbitkan: Ahad, 1 Februari 2015 4:06 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kunjungan Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia, Khamis ini, bakal mengeratkan lagi hubungan sedia ada antara kedua-dua negara, selain menjadi medan menyelesaikan beberapa isu yang tertangguh sejak sekian lama, kata Duta Besar Indonesia di Malaysia, Herman Prayitno.

Beliau berkata, Malaysia sebagai destinasi pertama lawatan negara Presiden Indonesia yang baru mengambil alih tampuk pemerintahan juga mencerminkan pengekalan tradisi yang diamalkan sejak sekian lain.

Malaysia merupakan destinasi pertama bagi lawatan negara Presiden Indonesia yang mesra disapa 'Jokowi' selepas mengambil alih tampuk pimpinan republik itu Oktober lepas.

"Pemerintahan Jokowi melanjutkan pemerintahan terdahulu yang dipimpin Susilo Bambang Yudhoyono di mana persahabatan dan perhubungan dengan Malaysia yang serumpun ini tetap (dikekalkan).

"Kunjungan bilateral pertama (ke Malaysia) ini juga menunjukkan hubungan kedua-dua negara secara politik, ekonomi, kebudayaan dan emosionalnya sangat dekat.

"Ini tradisi...kunjungan hormat. Presiden baru akan perkenalkan diri, ceritakan apa-apa yang akan dikerjakan lima tahun ke depan. Polisi dalam politik, ekonomi dan budaya...apa yang bisa disesuaikan dengan Malaysia," katanya dalam satu temu bual ekslusif dengan Bernama baru-baru ini.

Pada kunjungan itu, Jokowi bakal disertai Ibu negara Iriana serta Menteri Luar Retno Marsudi dan delegasi lain.

Isu sempadan Malaysia-Indonesia dan pekerja dijangka menjadi antara topik utama yang akan dibincangkan Jokowi dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatan tiga hari itu.

Herman berkata dalam isu pembatasan maritim, Indonesia bukanlah berhasrat mahu memperluaskan sempadan lautannya seperti yang dicurigai banyak negara.

"Kita (Indonesia) bilang kita negara maritim tapi tak bermaksud kita ingin invasi atau rebut wilayah orang lain. Kita hanya inginkan rakyat Indonesia tahu bahawa sumber kita yang terbesar adalah di laut. "Jadi, kita hanya ingin menegakkan kedaulatan laut agar kita bisa mengolah sumber yang banyak untuk memakmurkan Indonesia," jelasnya yang berharap isu persempadanan laut dan darat dengan Malaysia dapat diselesaikan menjelang hujung tahun 2015.

Rundingan pembatasan maritim antara Malaysia dan Indonesia turut melibatkan Selat Melaka, Laut Sulawesi and Laut China Selatan.

Menyentuh isu pekerja, khususnya dalam isu pembantu rumah yang sehingga kini belum menemui penyelesaian, Herman berkata perbincangan kedua-dua pemimpin dijangka berkisar tentang usaha memudahkan urusan penghantaran tenaga kerja ke Malaysia.

Katanya, Indonesia tidak keberatan untuk terus membekalkan tenaga kerja namun harus disertakan dengan jaminan perlindungan yang bagus dalam memastikan kebajikan rakyatnya terpelihara.

Untuk tujuan itu, jelasnya menteri-menteri berkaitan akan berbincang dari segi aspek teknikal demi mengelakkan berlaku lagi masalah di kemudian hari.

"Dari segi jangka panjang, kita hanya ingin kirim tenaga profesional seperti di sektor perkilangan dan perkebunan. Untuk pembantu rumah tangga mungkin sedikit demi sedikit kita akan kurangi kerana sukar untuk kita awasi," kata Herman.

Dalam pada itu, ditanya sama ada berlaku sebarang perubahan dasar dengan peralihan kepimpinan di republik itu, Herman berkata: "Tidak, kerana semua presiden mengikuti undang-undang dasar di negara kita."

Menyentuh soal pembangunan kereta Asean yang pernah disuarakan Najib, duta itu berkata Indonesia berpandangan positif dan tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dalam bidang itu.

"Presiden Jokowi nanti akan kunjungi Proton. Siapa tahu kalau kita bekerjasama kita mungkin berjaya hasilkan mobil Asean dari induknya Proton," jelasnya.

Sementara itu, Herman yang menjadi Duta Besar Indonesia di negara ini sejak 2012 mengharapkan kunjungan Jokowi dapat membawa hubungan kedua-dua negara ke tahap yang lebih baik.

"Saya betul-betul mengharapkan kunjungan ini berjalan lancar, aman dan membawa kenangan indah bagi kedua-dua rakyat Indonesia dan Malaysia," katanya. 



iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan