MH370: JPN Bincang Dengan Jabatan Peguam Negara Berhubung Sijil Kematian

Diterbitkan: Khamis, 29 Januari 2015 9:04 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara berhubung prosedur untuk mengeluarkan sijil kematian bagi mangsa pesawat MH370.

Ketua Pengarahnya, Datuk Sulaiman Keling berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan secara terperinci terhadap aspek perundangan bagi melicinkan sebarang proses yang perlu jika ada tuntutan melibatkan jabatan berkenaan.

"Kita mempunyai prosedur dan bagi memudahkan anggota keluarga mangsa MH370, kita akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara dan pihak mahkamah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas perisytiharan kerajaan Malaysia pada Khamis bahawa Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 merupakan satu kemalangan dan kesemuia 239 penumpang dan anak kapalnya dianggap telah meninggal dunia.

Pesawat Boeing 777-200ER itu, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada radar sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ke Beijing pada pukul 12.41 tengah malam, 8 Mac 2014.

Pesawat MAS itu dijadual tiba di ibu negara China itu pada pukul 6.30 pagi, hari yang sama.

Sementara itu, seorang peguam, Shaharudin Ali berkata waris mangsa boleh membuat permohonan mendapatkan perintah mengisytiharkan kematian di Mahkamah Tinggi Sivil sekiranya JPN tidak mengeluarkan sijil kematian.

Beliau berkata, mahkamah boleh mengeluarkan perintah tersebut sebagai ganti sijil kematian mengikut Seksyen 108 Akta Keterangan 1950.

"Mahkamah tidak akan mengeluarkan sijil kematian. Mahkamah mengeluarkan perintah isytihar yang sah dan mengikat. Bagi maksud (kes) penumpang dan anak kapal MH370, memadai untuk memohon surat pesaka dan lain-lain dengan melampirkan perintah Mahkamah Tinggi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Shaharudin, yang diminta mengulas mengenai hak ahli keluarga untuk mendapatkan status kesemua mangsa, berkata perintah tersebut juga membolehkan ahli keluarga menuntut insurans, harta pusaka dan lain-lain.

Katanya, mengikut Seksyen 108 Akta Keterangan 1950 ada dinyatakan bahawa isu sama ada seseorang itu masih hidup atau telah meninggal dunia, jika ia dibuktikan selama tujuh tahun tidak didengari atau dijumpai hidup oleh orang-orang yang lazimnya boleh mendengar atau berjumpa dengannya dan jika dia hilang selama tujuh tahun berturut-turut, maka boleh diandaikan bahawa individu itu telah meninggal dunia.

"Tetapi ada juga yang menyatakan sekiranya bukti menunjukkan penumpang sesuatu pesawat atau semuanya mati serentak dalam satu nahas yang dahsyat maka tak perlulah tunggu tujuh tahun kerana Seksyen 108 itu hanyalah satu peruntukkan yang menolong mengandaikan kematian.

"Jika kita dapat buktikan yang lain maka mahkamah boleh bertindak atas bukti-bukti yang lebih cepat, yang lebih awal.

"Permohonan spesifik untuk mengisytiharkan seseorang itu mati di bawah Seksyen 108 Akta Keterangan perlu dibuat namun tak boleh andai sebarangan. Ahli keluarga perlu pergi mendapatkan perintah daripada mahkamah," katanya.

Beliau berkata, bagi mereka yang telah diisytihar mati oleh mahkamah, JPN tidak akan mengeluarkan sijil kematian tetapi mereka akan merekodkan perintah hakim dalam sistem komputer JPN.

Selain itu, peguam Datuk Mohd Haziq Pillay, yang turut dihubungi, berkata status kehilangan nyawa telah melayakkan ahli keluarga membawa isu kematian mangsa ke mahkamah jika JPN tidak mengeluarkan sijil kematian.

Katanya, mahkamah boleh mengeluarkan perintah mengikut Seksyen 108 Akta Keterangan 1950.

"Ada kemungkinan JPN tidak akan mengeluarkan sijil kematian kerana mereka mempunyai syarat tertentu dalam hal ini namun mahkamah boleh mengeluarkan satu perintah bahawa individu tersebut tidak boleh dijumpai dan mahkamah akan membuat andaian perihal kematian," katanya.

Mohd Haziq berkata, walaupun peruntukan tersebut meletakkan syarat pembuktian sehingga tujuh tahun namun sekiranya ahli keluarga serta pengumuman kemalangan itu telah dibuat, pihak keluarga boleh membuat permohonan secepat mungkin.

"Kesian pada ahli keluarga. Perlu ada status mengenai mangsa bagi membolehkan mereka menuntut pampasan. Mungkin pihak kerajaan boleh membuat pengisytiharan (mengenai sijil kematian) seperti mana dilakukan oleh Amerika Syarikat apabila berlakunya serangan September 11 bagi memudahkan keluarga mangsa," kata Mohd Haziq. 

Mengenai sijil kematian warga asing, Mohd Haziq berkata pada kebiasaannya setiap negara mempunyai peruntukan tersendiri namun jika mereka memerlukan pengesahan daripada kerajaan Malaysia, ahli keluarga terbabit juga boleh membuat permohonan di mahkamah.

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan