Pelajar Asing Dari Pusat Bahasa, IPTA Wajib Daftar EMGS

Diterbitkan: Khamis, 29 Januari 2015 1:40 PM

Idris Jusoh

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS) untuk urusan permohonan pelajar asing menuntut di negara ini akan diperluaskan meliputi Pusat Bahasa dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), masing-masing bermula 1 Mac dan 1 April ini.

Sebelum ini, pusat sehenti itu hanya berperanan untuk memantau, menyelia dan menyelaras urusan berkaitan promosi, pemasaran dan perkhidmatan sokongan penuntut untuk institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata, perkara itu dibuat bagi menyelaras semua permohonan pelajar asing yang ingin belajar di negara ini agar mekanisme pengesanan setiap pelajar dari luar negara dijalankan dengan lebih efektif.

"Jika sebelum ini EMGS hanya diwajibkan kepada IPTS, tetapi kita melihat keberkesanan fungsi EMGS yang memulakan operasinya sejak Februari 2013 berpotensi untuk berfungsi sebagai pusat sehenti kepada semua pelajar asing yang ingin belajar di Malaysia," katanya.

Idris berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pembangunan dan Pemasaran Pendidikan Antarabangsa Malaysia 2015', di sini, Khamis.

Justeru, kata Idris, kesemua 330 Pusat Bahasa di seluruh negara dan IPTA kini diwajibkan untuk berdaftar dengan EMGS bagi membolehkan pelajar asing di institusi masing-masing untuk meneruskan pengajian di negara ini.

"Penetapan ini dilakukan kerana beberapa masalah timbul di kalangan pelajar asing yang belajar di Pusat Bahasa yang kelasnya hanya sembilan jam seminggu, dan ada di kalangan mereka mengambil kesempatan untuk membuat 'kerja lain'," katanya.

Selain itu, katanya, penetapan pendaftaran kemasukan pelajar asing di EMGS untuk IPTA juga dilakukan untuk menyelaras data kemasukan kesemua pelajar asing di Malaysia.

"Dengan adanya EMGS, kita tidak hanya menumpukan data setiap pelajar hanya daripada Jabatan Imigresen semata-masa, tetapi akan membolehkan kita memperoleh lebih maklumat seperti kursus yang diambil dan juga rekod kedatangan ke kuliah dan keputusan peperiksaan mereka,"katanya.

Tags / Kata Kunci: EMGS , IPTA , pusat bahasa , Idris Jusoh

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan