Syarikat Penerbangan Mansuh Surcaj Bahan Api

Diterbitkan: Selasa, 27 Januari 2015 8:18 AM

(Ubah saiz teks)

PENERBANGAN di rantau ini akan menjadi lebih murah apabila tiga syarikat penerbangan Malaysia iaitu AirAsia Group, Firefly dan Malindor Air memansuhkan surcaj bahan api seiring dengan penurunan harga minyak.

Malindo dan AirAsia Group dan syarikat penerbangan jarak jauhnya iaitu AirAsia X, AirAsia Thai X dan AirAsia Indonesia X memansuhkan surcaj bahan api bermula Isnin.

Firefly merupakan syarikat penerbangan pertama yang memansuhkan surcaj bahan api itu bagi semua penerbangannya bermula 16 Januari lalu.

Hangat diperkatakan ketika ini adalah Penerbangan Malaysia (MAS), tetapi tidak dipastikan sama ada ia akan mengikuti langkah tersebut walaupun rakan-rakannya seperti Japan Airlines dan Cathay Pacific telah pun memansuhkan surcaj bahan api.

Baru-baru ini, Virgin Australia dan Cebu Pacific juga turut memansuhkan surcaj bahan api mereka. 

MAS bagaimanapun tidak menjawab pertanyaan The Star mengenai pemansuhan surcaj bahan api.

Pemansuhan itu seharusnya membawa kepada kos lebih rendah buat perjalanan udara untuk pelancong, yang tidak perlu lagi membantu syarikat penerbangan membiayai caj bahan api, yang telahpun mereka lakukan sejak 2011.

Surcaj bahan api adalah levi yang dikenakan sebagai tambahan kepada tambang kapal terbang bagi membantu syarikat penerbangan menanggung kos bahan api apabila harga minyak meningkat. 

Ada masa tertentu di mana surcaj bahan api adalah lebih tinggi berbanding tambang yang sebenar.

Bahan api merupakan kos operasi utama bagi syarikat penerbangan, melibatkan 30 peratus sehingga 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan operasi.

Pemansuhan surcaj bahan api itu berikutan penurunan harga minyak mentah lebih 50 peratus kepada kurang AS$50 (RM180) setong. Pada Isnin, harga minyak mentah berada pada nilai sekitar AS$45 (RM162) setong.

"Syarikat-syarikat penerbangan begitu cepat mengenakan surcaj bahan api apabila harga minyak naik, tetapi mengambil masa untuk memansuhkannya apabila harga minyak jatuh. Tetapi apa yang menggalakkan ialah mereka akhirnya memansuhkannya," kata seorang pelancong.

Seorang lagi menambah: "Kami berharap kepada harga tambang yang lebih baik apabila harga minyak jatuh.

"Dengan separuh harga minyak yang biasanya dibayar oleh syarikat penerbangan, mereka sepatutnya memberikan kos penjimatan itu kepada kita."

Beberapa pakar bersedia untuk memperkatakan tentang perang tambang penerbangan yang dilakukan secara besar-besaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat pernerbangan itu akan memastikan kos penerbangan berada pada harga berpatutan terutamanya dengan penurunan harga minyak.

“Kami adalah syarikat penerbangan yang mempunyai nilai tinggi, dengan tambang yang rendah akan terus memastikan kos penerbangan adalah pada harga yang paling berpatutan.

“Keputusan ini telah dibuat pada November 2014, selaras dengan penurunan harga minyak global,” katanya.

Tony menambah dengan pemansuhan surcaj bahan api dan mengurangkan kos perjalanan ia akan memberi lonjakkan dalam industri pelancongan.

Sehubungan itu katanya, orang ramai boleh mendapatkan penerbangan bagi destinasi domestik bermula dari serendah RM19 sehala dan tambang  bagi penerbangan antarabangsa bermula dari serendah RM49 sehala.

AirAsia dan syarikat kumpulannya sebelum ini memansuhkan RM20-RM150 surcaj bahan api, begitu juga Firefly dengan RM35-RM45 dan Malindo pada RM20 untuk perjalanan domestiknya.

Malindo telah memansuhkan surcaj bahan api untuk penerbangan antarabangsanya tujuh bulan lalu, kata Ketua Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy.

"Pemansuhan terbaharu itu selari dengan Bajet 2015 yang disemak semula bagi membantu mempromosikan pelancongan domestik," kata Chandran.

Tags / Kata Kunci: surcaj bahan api , AirAsia , Firefly , Malindo

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan