Malaysia, Indonesia Terus Runding Selesaikan Isu Pembatasan Maritim

Diterbitkan: Isnin, 26 Januari 2015 5:31 PM

Anifah Aman (kanan) ketika beramah-mesra bersama Retno L.P Marsudi (kiri) pada pertemuan dua hala sempena Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri 2015 di Kota Kinabalu pada Isnin.

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Malaysia dan Indonesia akan meneruskan rundingan untuk mencari penyelesaian berhubung isu pembatasan maritim melalui mekanisme sedia ada, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat dua hala bersamarakan sejawatannya dari republik itu, Retno Marsudi di Hotel Le Meridien di sini.  Selain hubungan dua hala Malaysia-Indonesia, beliau berkata mereka berbincang mengenai isu-isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama. 

"Kedua-dua negara (juga) bersetuju untuk berbincang mengenai isu penangkapan kapal perikanan Malaysia oleh Indonesia; dan isu-isu berkaitan dengan tenaga kerja Indonesia dan penghantaran pulang pekerja Indonesia secara sukarela dari Malaysia ke Indonesia," katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN 2015 pada Isnin.

Anifah turut mengumumkan bahawa Malaysia akan menganjurkan mesyuarat Suruhanjaya Bersama Untuk Kerjasama Dua Hala (JCBC) ke-14 dan Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-11 pada tahun ini. 

"Insya-Allah melalui JCBC dan Rundingan Tahunan kita akan teruskan perbincangan mengenai isu-isu yang penting dan perlu diselesaikan," jelasnya. 

Mesyuarat dua hala Anifah dan Retno berlangsung kira-kira sejam tengah hari ini dengan diiringi Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno dan pegawai kanan dari kedua-dua negara. 

Retno sedang dalam lawatan rasmi ke Malaysia sejak Ahad sebelum menghadiri Pemukiman Menteri Luar ASEAN di sini pada Selasa sehingga Rabu. 

Pada sidang media itu, Anifah turut menyentuh mengenai lawatan julung kali Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia pada 5 hingga 7 Februari, yang juga merupakan lawatan rasmi pertamanya ke luar negara selepas mengangkat sumpah jawatan pada Oktober 2014.

"Kita jangkakan dalam pertemuan itu kita akan berbincang bukan sahaja masalah dalaman antara kedua-dua negara tetapi juga isu serantau," kata Anifah.

Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN di Sutera Harbour Resort di sini dari 27 hingga 28 Jan, menjadi acara pembukaan untuk siri mesyuarat peringkat menteri dan mesyuarat berkaitan di bawah pimpinan Malaysia selaku pengerusi ASEAN tahun ini. 

Malaysia mengambil alih jawatan sebagai pengerusi ASEAN daripada Myanmar mulai 1 Januari lepas.-BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan