Bukan Semua Tindakan Merotan Kanak-Kanak Perbuatan Jenayah - KPWKM

Diterbitkan: Ahad, 25 Januari 2015 11:54 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Peruntukan dicadangkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak baharu bukanlah bermaksud setiap perbuatan merotan menjadi kesalahan jenayah.

Sebaliknya, kementerian itu menjelaskan, apa yang dicadangkan dalam Rang Undang-undang itu ialah memasukkan peruntukan yang lebih terperinci mengenai tindakan yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal atau mental kepada kanak-kanak, dan ini termasuklah perlakuan merotan.

"Kementerian sedang meneliti dan memperhalusi cadangan untuk memasukkan peruntukan undang-undang yang lebih terperinci supaya apa-apa perbuatan kepada kanak-kanak sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi kepada kanak-kanak merupakan suatu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukuman penjara atau denda yang lebih tinggi.

"Di samping itu, kementerian juga mempertimbangkan untuk mengadakan hukuman alternatif seperti khidmat masyarakat atau kaunseling atau kursus keibubapaan," demikian menurut kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat kementerian itu di sini, Ahad.

KPWKM menjelaskan bahawa tindakan memperhalusi undang-undang itu adalah selaras dengan cadangan terdahulu untuk memansuhkan Seksyen 91(1)(g) Akta Kanak-Kanak 2001 yang buat masa ini mahkamah dibenarkan untuk menjalankan hukuman sebatan ke atas kanak-kanak yang didapati bersalah.

Beberapa media pada Ahad melaporkan kenyataan menteri KPWKM, Datuk Seri Rohani Abdul Karim sebagai berkata, merotan anak bakal menjadi satu kesalahan jenayah sekiranya undang-undang baharu untuk menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 mendapat kelulusan parlimen.

Ekoran laporan itu, beberapa pihak tampil meminta penjelasan serta menyarankan agar kementerian mengkaji semula sekiranya cadangan itu benar-benar mahu dilaksanakan.

Dalam pada itu, kementerian turut menjelaskan cadangan untuk memansuhkan hukuman sebatan di peringkat mahkamah adalah selari dengan prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

"Pada masa ini Seksyen 91(1)(g) Akta Kanak-Kanak 2001 membenarkan seseorang kanak-kanak lelaki dikenakan hukuman sebatan tidak lebih daripada 10 kali sebatan apabila disabitkan dengan kesalahan melakukan jenayah. Dalam hal ini, hukuman sebatan di mahkamah adalah berbeza dengan hukuman merotan sama ada di sekolah atau rumah. 

"Hukuman sebatan di mahkamah dilakukan secara teratur mengikut prosedur yang ditetapkan undang-undang. Bagaimanapun, atas alasan perkembangan psikologi dan selaras dengan CRC, kementerian bercadang untuk memansuhkan hukuman tersebut," menurut kenyataan itu.

Tags / Kata Kunci: rotan anak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan