Saya Bukan Pelobi - Zulhazmi

Diterbitkan: Rabu, 21 Januari 2015 7:30 AM

Salahuddin dicadangkan sebagai pengganti Abdul Hadi sebagai Presiden PAS yang baharu pada pemilihan parti itu Jun depan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: "Saya bukan pelobi untuk Salahuddin (Ayub)," demikian pengakuan bekas Exco Pemuda PAS Pusat, Zulhazmi Shariff berhubung cadangannya supaya penyandang naib presiden itu menduduki kerusi nombor satu dalam PAS.

Tegasnya, beliau bukan ejen suruhan untuk mana-mana pemimpin termasuk Salahuddin dalam memulakan kempen menjelang pemilihan PAS pada Jun depan.

"Jangan salah anggap, saya bukan pelobi untuk Salahuddin. Itu hanya cadangan berdasarkan pertimbangan saya.

"Sebagai ahli, saya juga ada hak untuk bersuara dan memberi cadangan. Kalau orang lain boleh sokong atau mencadangkan pemimpin tertentu, mengapa tidak saya?" katanya kepada mStar Online.

Sebelum ini, mStar Online melaporkan bahawa Zulhazmi secara terbuka mencadangkan supaya Salahuddin menggantikan kedudukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS.

Cadangan itu muncul selepas beliau mencetuskan kontroversi apabila mahu supaya Hadi tidak dicadangkan semula sebagai presiden.

Sebaliknya beliau mencadangkan supaya Abdul Hadi menggantikan kedudukan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am PAS yang kini sedang uzur.

Ditanya kemungkinan cadangannya membabitkan masa depan politik Salahuddin akan mengundang reaksi negatif termasuk bakal didakwa cuba memecahbelahkan parti, Zulhazmi bagaimanapun menyedari akan situasi itu.

"Saya faham kesannya. Saya sedar orang akan tuduh macam-macam. Tapi ini hak saya. Saya mahu lihat wujud pengasingan kuasa dalam PAS. Bukan saya mahu tolak kepimpinan ulama dalam PAS," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan