Tiada Kesan Besar Tangguh Kenaikan Tarif Elektrik - Fomca

Diterbitkan: Rabu, 21 Januari 2015 2:41 PM

Mohd Yusof Abdul Rahman.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Langkah kerajaan menangguhkan kenaikan tarif elektrik pada 2015 disambut baik, namun ia dilihat tidak akan memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat berikutan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dikuat kuasakan mulai April ini.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pada dasarnya keputusan itu dialu-alukan kerana kenaikan tarif elektrik sepatutnya memberi kesan kepada harga barangan, seperti mana harga minyak.

"Penangguhan ini tentu melegakan orang ramai, cuma bagi sektor perindustrian ia akan membebankan sebahagian pemain sektor itu apabila GST bermula.

“Jadi kesan daripada penangguhan itu tidak begitu besar, kerana masih ada kenaikan dalam kos operasi terutama sektor perindustrian,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa mengumumkan penstrukturan semula Bajet 2015 yang antara lain menangguhkan cadangan kenaikan tarif elektrik pada 2015.

Mohd Yusof juga mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan perbelanjaan berhemah kerana kesan kepada harga barangan akan ‘berganda’ apabila tarif eletrik dinaikkan, selain disebabkan GST.

Bagaimanapun, katanya, penurunan 60 peratus harga minyak sepatutnya tidak mendorong peniaga untuk mengaut untung lebih tinggi.

“Masalahnya ada peniaga yang tak menurunkan harga barangan kalau harga minyak turun dan kini kenaikan tarif elektrik pula ditangguhkan tentu kurangkan kos mereka.

“Sebab kita tahu bila ada kenaikan dari segi kos operasi, peniaga tentu akan menaikkan harga barangan, sekali gus akan membebankan pengguna,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya semua peniaga mengambil sikap bertanggungjawab mengikut keadaan semasa dengan menurunkan harga barangan ketika tiada sebarangan kenaikan yang memberikan kesan kepada kos operasi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan