Pengusaha Bas Sekolah Perlu Turun Kadar Tambang Selari Penurunan Harga Minyak

Diterbitkan: Rabu, 21 Januari 2015 12:09 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meminta pengusaha perkhidmatan pengangkutan terutama pengusaha bas sekolah agar menurunkan segera kadar tambang selaras dengan penurunan harga runcit petrol dan diesel.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin berkata, ini kerana pengusaha bas sekolah merupakan antara pihak yang menerima impak secara langsung dengan harga minyak tersebut.

"Jika harga minyak sedang naik dahulu pengusaha bas sekolah merupakan antara golongan yang paling lantang bersuara untuk menaikkan tambang, oleh itu apabila harga minyak telah turun mereka wajar menurunkan harga tambang dengan segera," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu jemputan bagi program 'Dalam Radar' Radio24 Bernama, di sini Selasa.

Sementara itu katanya, walaupun harga semua barangan seharusnya turun mengikut kadar semasa harga minyak, namun para pengguna perlu memahami terdapat faktor lain yang menentukan harga barangan.

Katanya, antara faktor yang mempengaruhi harga barang ialah kos gaji pekerja, tarif elektrik, sewa premis dan cukai pintu.

Mulai 1 Januari lalu, harga runcit bagi petrol RON95 dan RON97 diturunkan sebanyak 35 sen, masing-masing kepada RM1.91 seliter dan RM2.11 seliter, manakala harga runcit bagi diesel pula diturunkan sebanyak 30 sen kepada RM1.93 seliter.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan