Kerajaan Hanya Buat Komitmen RM1 Juta Dalam 1MDB - Najib

Diterbitkan: Rabu, 21 Januari 2015 11:37 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ramai tidak mengetahui bahawa komitmen kerajaan untuk 1Malaysia Development Bhd (1MDB), syarikat pembangunan strategik milik penuhnya, yang hanya sebanyak RM1 juta dalam bentuk saham, kini mempunyai aset bernilai RM50 bilion.

Bercakap pada program 'Soal Jawab' terbitan TV3 Rabu malam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata memang benar syarikat itu mempunyai hutang yang besar, namun jika dibandingkan antara aset dan liabiliti, asetnya jauh lebih baik berbanding liabiliti.

Najib menjawab soalan berkaitan perkembangan 1MDB.Syarikat itu, yang lembaga penasihatnya diketuai sendiri oleh Perdana Menteri, dikritik hebat.|

Namun, keadaan akan berubah tidak lama lagi berikutan syarikat itu telah membuat keputusan selangkah ke hadapan dengan melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) pada suku kedua tahun ini untuk aset-aset loji jana kuasanya.

Dana daripada IPO itu akan membantu mengurangkan kira-kira US$12 bilion  (US$1=RM3.62) hutang, selain meluaskan perniagaan syarikat.

Najib berkata IPO berkeupayaan menarik pelabur asing dan tempatan.|

"Bila IPO diterbitkan nanti, dalam keadaan pasaran yang mudah-mudahan positif, sudah tentu kita akan dapat menarik pelaburan yang besar dari dalam dan luar negara untuk melabur dalam syarikat tenaga yang dimiliki 1MDB.|
|
"Di samping itu, 1MDB ada tanah yang besar, seluas 550 ekar (222.58 hektar) di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur, dan nilainya juga besar," kata Perdana Menteri, sambil menambah bahawa projek pusat kewangan baharu, Tun Razak Exchange, turut mempunyai nilai yang tinggi. 

Najib berkata Malaysia akan mendapat nilai pulangan yang besar sekiranya aset-aset tersebut dapat direalisasikan.

"Saya masih yakin terhadap lembaga pengarah, dengan kepimpinan yang ada, lebih-lebih lagi yang baharu, 1MDB akan memberi banyak manfaat kepada negara kita dalam jangka panjang," kata Perdana Menteri.-BERNAMA

Tags / Kata Kunci: 1MDB

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan