Zam Ucap Selamat Tinggal Pada Penulisan Politik Semasa

Diterbitkan: Selasa, 20 Januari 2015 1:29 PM

Zainuddin Maidin

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin mengumumkan untuk berhenti dari penulisan politik selepas menimbangkan pelbagai aspek terutama pentingnya kedamaian dan ketenteraman jiwa.

Keputusannya itu disampaikan pada Isnin menerusi laman blog Zamkata dengan slogan "Setiakawan Demi Warisan, Kemanusiaan dan Kerukunan" di mana isu politik semasa sentiasa menjadi pengisian utamanya.

Zamkata dilancarkan 8 Ogos 2012 dan sehingga kini mencatat lebih 1.5 juta pelawat dan pelawat setiap hari antara 2,000 hingga 3,000, malah pernah mencapai antara 8,000 hingga 10,000, mengikut isu semasa.

Menghulurkan salam terakhir kepada peminat blognya sebagai pembuka bicara catatannya, Zainuddin yang lebih dikenali sebagai Zam meluahkan rasa kesal berikutan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya, walaupun hakikatnya beliau bergerak secara bebas tanpa berpaut kepada sesiapa.

"Sepanjang lebih 50 tahun dalam bidang  kewartawanan, saya tidak pernah menjadi penulis upahan. Berkhidmat kepada Utusan Melayu  dengan kesetiaan kepada dasar kepartian dan kepimpinannya  dan tidak tunduk kepada fiction. Maka itu saya tersingkir dari Ketua Pengarangnya.

"Penulisan buku mengenai Tun  Dr. Mahathir (Mahathir Di Sebalik Tabir) dan Tun Abdul Razak (Jejak Bertapak Seorang Patriot) adalah atas kemahuan dan kerelaan saya sendiri kerana mencintai mereka sepenuh hati sebagai pahlawan dan negarawan bangsa.

Menceritakan lebih lanjut, anak kelahiran Kota Kuala Muda, Kedah ini berkata, tempoh selepas bersara pula menyaksikan pelbagai pihak meminta beliau mengetuai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penasihat parti, menawarkan jawatan pengarah syarikat atau institusi pelajaran tetapi semuanya ditolak.

"Saya tolak semuanya kerana mahu bebas dalam persaraan, kecuali meneruskan penulisan.

"Namun, dalam bersendirian juga saya dianggap mempunyai sandaran," katanya yang tersinggung apabila kekuatan dirinya dianggap sebagai bergantung pada orang lain.

Malahan, tokoh kewartawanan berusia 76 tahun ini mengakui rasa terhina apabila timbul tanggapan wujudnya konspirasi untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak hanya kerana memenuhi jemputan minum pagi bersama Tun Daim Zainuddin dan menemui Dr Mahathir bersama rakannya.

"Kepercayaan dan setiakawan saya kepada kepimpinan  politik yang bersandarkan sejarah dan kejayaan telah dicemarkan oleh perbezaan fikiran, penilaian dan ketakutan pada mimpi ngeri politik masa depan pihak yang semakin sedar akan kemerosotan pengaruh dan kekuatan. Maka teguran tidak lagi dianggap sebagai sokongan," katanya.

Jelas Zainuddin lagi, beliau tidak mempunyai kawan sejati dalam politik, kerajaan  atau pertubuhan kecuali rakan-rakan wartawan.

"Saya selalu disebut oleh media sosial sebagai sekutu Mahathir atau rakan Mahathir tetapi Mahathir pernah menyatakan dalam  majlis pelancaran buku 'Jejak Bertapak Seorang Patriot Tun Abdul Razak': "Zam adalah kawan saya tetapi kawan yang ada kalannya menyukarkan ."

"Barangkali saya adalah di antara ribuan  wartawan dan penulis yang terus mendukung  idealisme kewartawanan  untuk perjuangan  membetulkan dunia dan manusia," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak pernah lupa kata-kata Dr Mahathir semasa bergelar Perdana Menteri apabila diberitahu mengenai penyelewengan dan kecurangan orang-orang penting di dalam pemerintahannya: “Zam, Nabi pun tak boleh betulkan dunia ini."

"Persaraan ini bukan bererti saya akan meninggalkan dunia penulisan tetapi akan lebih menumpu kepada sejarah negara yang saya lalui sendiri, cerita masyarakat, sosial dan agama, pengalaman yang tersirat tetapi belum tersurat dalam perjalanan panjang keseluruh pelusuk dunia sebagai wartawan.

"Kacamata kewartawanan tetap menjanjikan seribu satu macam kebahagiaan dalam ilusi, mimpi dan realiti dan tidak hanya politik.

Beliau juga tidak lupa menasihatkan wartawan negara ini supaya terus berjuang untuk membetulkan pimpinan negara menerusi penulisan.

"Kuatkanlah semangat. Kehormatan diri tidak kekal dalam wang seguni. Kenalilah nilai kewartawanan sejati," katanya.

Pada penghujung catatannya, Zam menghadiahkan sajak hasil nukilannya, "Bangunkan Semangat Jokowi" bagi membuktikan beliau masih berpendirian bahawa bidang kewartawanan adalah senjata demokrasi untuk reformasi dan transfomasi:


BANGUNKAN SEMANGAT JOKOWI

Setapak langkahku terhenti
Berjuta melangkah kedepan lagi
Dalam nyanyi semangat Jokowi
Tiada langit tiada bumi.
Tiada dinasti.

Mahathir dan P. Ramlee
Tidak pernah mati
Gagah  suara seindah  fajar pagi
Bangkitkan semangat putera putri
Ranapkan Dinasti

Sekali keris dipacak kebumi  
Minta maaf pantang sekali
Akan terpancarlah  darah rakyat  sejati
Menyamakan warna langit dan bumi

Bangunkanlah  semangat  Jokowi
Mahathir dan P.Ramlee tidak pernah mati
esok pagi akan lebih indah lagi
kerana sinarnya bukan lagi Dinasti.

ZAM 








iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan