Visa Percuma Boleh Dilaksana Sebelum Tahun Baharu Cina - Zahid

Diterbitkan: Selasa, 20 Januari 2015 3:31 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Penawaran visa percuma (VFF) kepada pelancong antaranya dari China yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa, boleh dilaksanakan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, keputusan mengenai tarikh pelaksanaan langkah itu akan diputuskan dalam mesyuarat kabinet esok.

"Visa tidak akan dikenakan bayaran kepada beberapa segmen pasaran kerana berlaku penurunan kedatangan pelancong terutama dari negara China.

"Bagaimanapun, harus diingat visa tetap akan dikenakan untuk menjaga hal ehwal keselamatan kerana dalam kita menggamit pelancong ke Malaysia kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Perutusan Khas Perdana Menteri berkenaan perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara, di sini Selasa.

Dalam perutusan khas itu, Najib berkata pemberian visa secara percuma kepada pelancong antaranya dari China adalah sebahagian daripada tindakan dalam strategi untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang seimbang, inklusif dan mampan.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz meminta agar pemberian visa percuma itu dikuatkuasakan sebelum Tahun Baharu Cina bagi menarik pelancong negara itu ke Malaysia untuk bersaing dengan negara serantau.

Enam negara ASEAN iaitu Kemboja, Indonesia, Laos, Vietnam, Thailand dan Filipina telah menawarkan visa percuma kepada pelancong China.



iklan

Kolumnis

iklan

Iklan