PAS Tempelak DAP Kerana Tak Konsisten

Diterbitkan: Selasa, 20 Januari 2015 9:07 PM

Mustafa Ali

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Dua sekutu Pakatan Rakyat sekali lagi bercakaran antara satu sama lain berhubung polisi bersama apabila cuba mempertahankan pendirian masing-masing.

Terbaharu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pada Selasa menempelak DAP yang tidak konsisten membabitkan isu pilihan raya kerajaan tempatan.

Sebelum itu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Loke mengesahkan dan mengakui bahawa pilihan raya kerajaan tempatan tidak termasuk dalam polisi bersama Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, PAS menimbulkan isu ini kerana tanpa dibincangkan di peringkat kepimpinan Pakatan, kerajaan DAP Pulau Pinang yang dipimpin Lim Guan Eng telah melaksanakannya.

"Inilah contoh sikap DAP yang tidak konsisten dan ia juga gambaran sifat arogan yang ditunjukkan sebahagian pemimin DAP yang tidak baik dalam konteks kerjasama politik sekarang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, kata Mustafa, selama ini DAP menyatakan sebarang isu yang tidak termasuk dalam polisi bersama dan tidak dipersetujui oleh pimpinan tertinggi Pakatan tidak boleh dilaksanakan, termasuk isu kerajaan tempatan.

"Dalam kes hudud yang tidak termasuk dalam polisi bersama, DAP mati matian berkata, ia tidak boleh dilaksanakan tetapi dalam kes kerajaan tempatan yang juga tidak termasuk dalam polisi bersama ia diteruskan oleh kerajaan Pulau Pinang. Ini yang menjadi persoalan," katanya.

Tambah Mustafa lagi, pendirian pemimpin Pakatan berkaitan isu kerajaan tempatan adalah jelas di mana ia tidak mempunyai persetujuan bersama untuk dilaksanakan.

"Pendirian yang diambil oleh pimpinan Pakatan Rakyat dalam mesyuarat-mesyuaratnya berhubung isu ini jelas menolaknya sehingga ia dibincangkan bersama oleh ketiga-tiga parti di peringkat negeri.

"Sehingga ini tiada sebarang keputusan dibuat oleh Pakatan di peringkat negeri," katanya.

Bagaimanapun, dalam kes Pulau Pinang, kerajaan DAP tanpa merujuk kepada pimpinan pusat telah melaksanakannya.

"Apa sebabnya, apakah kerana mereka ada majoriti dalam DUN (Dewan Undangan Negeri) Pulau Pinang," katanya sambil mengulangi ia sebagai sifat angkuh pemimpin DAP apabila memperolehi kuasa majoriti.

Beliau juga merujuk kepada pimpinan DAP Sarawak yang membuat kenyataan, tidak perlu kerjasama PAS atau PKR hanya kerana DAP paling kuat di Sarawak.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan