Kes Daim: SPRM Jumpa Anwar

Diterbitkan: Isnin, 19 Januari 2015 2:40 PM

Daim Zainuddin

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertemu dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaannya terhadap bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Malah, SPRM juga akan membuka kertas siasatan mengenai dakwaan penyalagunaan kuasa oleh bekas Menteri Kewangan itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata suruhanjaya itu sudah merakamkan keterangan Daim berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa sepanjang tempoh beliau memegang jawatan tersebut.

Malah, SPRM akan meminta Anwar untuk membantu siasatan kes tersebut.

"Kami akan bertemu (Anwar) yang mendakwa mempunyai bukti kukuh mengenai perkara itu.

"Kami juga menggesa sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat untuk tampil," kata Mohd Shukri dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata kenyataan yang diberikan oleh Daim, Anwar dan mana-mana individu lain akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan seterusnya kepada Panel Penilaian Operasi (PPO).

"Semua siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009," katanya.

Mohd Shukri menjelaskan SPRM yang dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah telah menyiasat Daim pada 1998.

Bagaimanapun, beliau berkata Timbalan Pendakwa Raya yang meneliti kes berkenaan pada masa itu membuat keputusan tiada tindakan lanjut (NFA).

Baru-baru ini, Anwar dilaporkan sebagai berkata, beliau mempunyai bukti mengaitkan Daim dengan penyalahgunaan kuasa.

Ketua Pembangkang itu berkata beliau sedia bekerjasama dengan SPRM jika badan itu ingin memulakan siasatan terhadap Daim.

Sebelum ini, terdapat laporan mengatakan Daim mengesahkan memiliki sebuah bank di Tanzania, namun menafikan terlibat dalam penyalahgunaan kuasa.

Tags / Kata Kunci: Daim Zainuddin , SPRM , kertas siasatan , Tanzania

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan