Isu MyEG Ke Kabinet

Diterbitkan: Ahad, 18 Januari 2015 10:33 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Kabinet dijangka membincangkan isu pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing secara dalam talian menggunakan perkhidmatan MyEG Services Berhad (MyEG).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, beliau akan membentangkan perkara itu setelah mendapat maklum balas beberapa pihak termasuk majikan.

Beliau berkata, sebahagian daripada majikan menyokong langkah tersebut, bagaimanapun meminta Jabatan Imigresen membuka kaunter bagi mereka yang tidak mahu menggunakan perkhidmatan MyEG.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima, kebanyakan pihak khususnya majikan yang terlibat mempersoalkan pelaksanaannya yang dibuat secara tiba-tiba.

“Justeru, kita bersetuju untuk membincangkan perkara ini dan berharap akan mendapat penyelesaian tentang isu berkenaan,” katanya selepas merasmikan Ekspo Kerjaya dan Pasca Siswazah Johor Ke-3 di Danga City Mall di sini, Sabtu.

Akhbar sebelum ini melaporkan bermula 5 Januari lalu, semua majikan tidak boleh memperbaharui PLKS pekerja asing mereka secara terus dengan Jabatan Imigresen dan hanya boleh berbuat demikian menggunakan perkhidmatan MyEG.

Kadar caj perkhidmatan dalam talian sistem MyEG sebanyak RM38 dikenakan bagi menampung kos pengoperasian sistem dan urusan perkhidmatan seperti skop dalam talian, pendaftaran pengenalan dan kata laluan majikan, bayaran penghantaran PLKS serta bayaran sita sekiranya pekerja asing bermasalah.

Mengulas tentang ekspo berkenaan yang berlangsung hingga esok, beliau berkata, lebih 10,000 peluang pekerjaan disediakan kepada golongan siswazah oleh kira-kira 80 majikan dalam pelbagai industri di negeri ini.

Pada majlis berbeza, Ka Siong yang juga Timbalan Presiden MCA berkata, parti itu akan mengadakan pertemuan dengan semua kepimpinan peringkat bahagian sebagai persediaan awal menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Jawatankuasa bertindak parti untuk pilihan raya akan datang diketuai Datuk Seri Liow Tiong Lai sendiri dan mesyuarat akan diadakan untuk membincangan persiapan dan strategi parti," katanya.


Tags / Kata Kunci: MyEG , PLKS , Wee Ka Siong , Kabinet

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan