KKM Arah Pengimport Epal Gala, Granny Smith Tarik Semula Produk

Diterbitkan: Ahad, 18 Januari 2015 9:20 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan telah mengarahkan pengimport epal jenis Granny Smith dan Gala supaya memanggil semula produk itu dari pasaran berikutan dakwaan epal itu dicemari bakteria, selain menyita buah epal yang terdapat di premis pengimport. 


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, pihaknya mengambil maklum isu pencemaran bakteria "Listeriamonocytegenes" pada epal jenis Granny Smith dan Gala keluaran Syarikat Bidart Brothers, dari Bakersfield, California, Amerika Syarikat.

Katanya, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (USFDA) mengenai perkara ini selain mengenakan pemeriksaan tahan, uji, lepas ke atas pengimportan epal jenis Granny Smith dan Gala keluaran syarikat itu di semua pintu masuk.

"Ini berikutan isu pencemaran bakteria Listeria monocytegenes ke atas epal jenis Granny Smith dan Gala keluaran Syarikat Bidart Brothers, Bakersfield,California, Amerika Syarikat yang digunakan dalam pengeluaran karamel epal yang dikesan oleh pihak USFDA seperti dilaporkan dalam beberapa media antarabangsa sejak kebelakangan ini," katanya.

Katanya makanan yang tercemar dengan Listeria monocytogenes berkemungkinan tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa ia telah rosak secara fizikal sama ada melalui penglihatan atau bau.  

"Pengambilan makanan yang tercemar dengan bakteria ini boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan yang dikenali sebagai listeriosis yang boleh menyebabkan demam kuat, sakit kepala yang teruk, kekejangan pada leher dan loya dan ia berisiko bagi wanita mengandung, warga emas dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah," katanya.

Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terlibat mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman web http://fsq.moh.gov.my atau facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dilaporkan telah menyekat kemasukan epal jenis Gala dan Granny Smith dari Amerika Syarikat ke Malaysia kerana dipercayai tercemar oleh bakteria Listeriosis.

Tags / Kata Kunci: Epal granny smith , gala

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan