Pampasan: Tindakan Susulan Selepas Isnin - Azmin

Diterbitkan: Jumaat, 16 Januari 2015 12:14 PM

Azmin Ali

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor dan Menteri Besar Diperbadankan (MBI) akan memutuskan mengenai tindakan susulan berhubung kontroversi pembayaran pampasan bernilai RM2.6 juta terhadap lapan bekas pembantu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, seawal-awalnya minggu depan.

Ini kerana tempoh memberi maklum balas terhadap surat tuntutan pemulangan semula wang pampasan berakhir Isnin.

Menteri Besarnya, Mohamed Azmin Ali menegaskan, terpulang kepada kesemua lapan  bekas pembantu Abdul Khalid sekiranya mahu membawa perkara itu ke mahkamah.

"Itu hak mereka (sedia bawa ke mahmakah). Saya tak tahu (sama ada mereka sudah buat keputusan untuk tidak pulangkan semula pampasan tersebut)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Sistem Pengurusan Hak Milik Strata Berkomputer (e-strata) dan Sistem Pengurusan Keselamatan Tanah (Selamat) di lobi Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, Jumaat.

Baru-baru ini, dilaporkan pembantu bekas Menteri Besar Selangor sedia berdepan dengan kerajaan Selangor di mahkamah berhubung kontroversi pembayaran pampasan tersebut.

Azmin berkata, ketika ini, kerajaan negeri menghormati tempoh dua minggu yang diberi kepada semua bekas pembantu Abdul Khalid untuk memberi respons kepada surat tuntutan pemulangan semula wang tersebut yang diserahkan pada 6 Januari lalu.

"Kita harus menghormati tempoh yang diberikan kepada mereka," katanya.

Turut dilaporkan sebelum ini, semua bekas pembantu Abdul Khalid yang menerima surat arahan pemulangan wang pampasan oleh pengurusan baharu MBI pada 6 Januari lalu sudah melantik peguam bagi mengendalikan kes berkenaan.

"Peguam kami menasihatkan supaya tidak bercakap dengan media kerana dibimbangi akan menjejaskan kes itu.

"Beliau akan menjawab surat tuntutan yang dihantar kepada kami," kata seorang daripada lapan bekas pembantu yang tidak mahu dikenali.

Lapan pembantu itu adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Hussin; ketua pegawai operasi Rohani Talib;bekas setiausaha akhbar, Arfa'eza Abd Aziz; setiausaha politik, Mustafa Talib; pegawai penyelaras, Rahimah Kamaruddin; pegawai komunikasi khas, Dr Sulaiman Masri; pengurus penyelidikan ekonomi, Abdul Halim Mohd Yusuf dan pegawai akhbar, Tuan Nazuri Ismail.


Tags / Kata Kunci: MBI , Selamat , e-strata , Azmin Ali

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan