Anggota Kabinet Sarawak Tandatangani Ikrar Integriti Korporat

Diterbitkan: Khamis, 15 Januari 2015 4:17 PM

Adenan mengetuai barisan Kabinet Sarawak membaca ikrar integriti korporat di Wisma Bapa Malaysia, Kuching pada Khamis.

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Kerajaan Sarawak mencipta sejarah apabila hampir semua tujuh menteri penuh dan 19 menteri mudanya menandatangani ikrar integriti korporat di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengetuai upacara itu dan pembacaan ikrar, dengan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Paul Low Seng Kuan pada Khamis.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan akan menandatangani ikrar itu sekembalinya dari luar negara kelak.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mustafar Ali, yang sebelum itu memberi taklimat kepada para menteri dan menteri muda berkenaan.

Bercakap kepada media selepas majlis itu, Adenan berkata penandatanganan ikrar itu mencerminkan keikhlasan dan kejujuran anggota Kabinet negeri dalam mentadbir kerajaan untuk rakyat.

Katanya mereka juga dikehendaki mengemukakan kepada beliau data peribadi, pendapatan dan maklumat penting lain.

"Saya telah mengemukakan maklumat tentang diri saya kepada perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Mereka akan mengemukakannya dengan secepat mungkin. Ia tidak memerlukan masa yang lama kerana mereka tidak memiliki banyak aset peribadi untuk diisytiharkan," katanya secara berjenaka.

Adenan berkata langkah itu mungkin dianggap hanya sebagai suatu lakonan oleh pihak yang bersikap sinis dan ragu-ragu.

"Tapi, usahlah mereka terlalu mudah membuat tanggapan dan menilai kami seperti itu. Ini hanya langkah permulaan dan mereka akan dapat melihat apa yang akan berlaku selepas ini. Kami serius dengan ikrar kami," katanya.

Adenan menandatangani ikrar berkenaan sambil disaksikan Paul Low (belakang kiri) dan Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mustafar Ali (belakang tengah).

Sementara itu, Low, yang turut hadir pada sidang media berkenaan, berkata penandatanganan ikrar itu menunjukkan kesungguhan politik dan komitmen kepimpinan negeri ini.

"Ikrar adalah suatu perkara serius. Ia seperti aku janji kepada orang ramai tentang arah tuju yang akan dipatuhi oleh anggota Kabinet," katanya.

Beliau mengesahkan bahawa kerajaan Sarawak adalah kerajaan negeri pertama di negara ini yang menandatangani ikrar integriti korporat dan beliau akan menggesa kerajaan negeri lain turut mengambil langkah serupa.

Tags / Kata Kunci: Sarawak , Adenan Satem , ikrar integriti

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan