Mejar Zaidi Ceburi Bidang Politik

Diterbitkan: Khamis, 15 Januari 2015 10:55 PM

Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad dari Pengkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang keluar dari Kompleks Mahkamah Tentera selepas didakwa atas tuduhan memanipulasi dakwat kekal sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) baru-baru ini di Kompleks Mahkamah Tentera Pangkalan TUDM, Kem Sungai Besi di Kuala Lumpur, Jumaat. Foto BERNAMA

Mejar Zaidi Ahmad.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Selepas dipecat daripada pasukan Tentera Udara atas kesalahan membuat dakwaan mengenai ketahanan dakwat kekal, Mejar Zaidi Ahmad kini mula menceburi bidang politik. 

"Saya tidak berminat untuk menyertai mana-mana parti buat masa ini dan fokus utama saya adalah untuk membantu masyarakat. 

"Saya bersedia untuk menjadi calon dalam masa terdekat," katanya ketika berucap dalam forum Bersih 2.0 pada Khamis. 

Mejar Zaidi, 47, berkata beliau sangat bersyukur kerana ramai yang memberikan sokongan kepada dia dan keluarganya selepas dipecat oleh mahkamah tentera pada Isnin kerana membuat kenyataan media berhubung ketidaktahanan dakwat kekal yang digunakan pada pilihan raya umum 2013 dan mendedahkan maklumat mengenai surat pemindahannya. 

Dia telah diperintahkan untuk membela diri berhubung dakwaan tersebut namun, beliau memilih untuk berdiam diri. 

"Ramai yang menghubungi dan menghantar pesanan ringkas kepada saya untuk menyatakan sokongan, saya sangat berterima kasih kepada mereka," katanya. 

Mengulas lanjut, Mejar Zaidi berkata beliau sangat gembira apabila mendapat tahu anggota keselamatan kini boleh membuat laporan polis berhubung kecuaian dalam pilihan raya. 

Dalam nada bergurau, beliau menambah: "Selepas ini, jangan beritahu pihak media jika anda membuat laporan polis. Media juga jangan tanya. Anda perlu dapatkan sendiri laporan tersebut dan membuat laporan berita mengenainya." 

Sementara itu, pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari memuji keberanian Mejar Zaidi dan kekuatannya menghadapi dugaan selepas dipecat daripada jawatannya semata-mata untuk menegakkan kebenaran. 

"Saya kagum dan sukar untuk mencari seorang yang sangat berani menegakkan kebenaran," katanya. 

Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah pula berkata: "Adalah sangat menyedihkan apabila kita kehilangan anggota tentera yang hebat. Beliau berhadapan dengan tekanan yang sangat hebat ketika sesi perbicaraan namun dia tetap berani menegakkan kebenaran. Kita perlukan lebih ramai rakyat Malaysia seperti beliau."

Tags / Kata Kunci: Mejar Zaidi , dipecat , politik , mahkamah tentera

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan