Kaunter PLKS Dibuka Untuk Kes Tertentu Sahaja - Imigresen

Diterbitkan: Khamis, 15 Januari 2015 1:30 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kaunter bagi urusan memperbaharui Pas Lanjutan Kerja Sementara (PLKS) di pejabat Imigresen masih dibuka untuk majikan membuat permohonan yang hanya melibatkan kes tertentu sahaja.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan), Datuk Sakib Kusmi berkata, kaunter berkenaan dibuka kepada majikan yang berhadapan dengan masalah pekerja tinggal lebih masa dan disenaraihitamkan.

“Memang kita telah memulakan permohonan untuk memperbaharui PLKS menggunakan kaedah baharu, secara dalam talian dengan MyEG.

“Tetapi kaunter-kaunter di pejabat Imigresen masih dibuka bagi urusan yang mempunyai masalah tertentu seperti lebih masa dan disenaraihitamkan,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Sistem baharu dalam talian menerusi perkhidmatan MyEG dengan caj yang dikenakan RM38 bagi setiap permohonan mula dikuatkuasakan pada 5 Januari lalu.

Pengenalan itu antara lain bertujuan untuk menjimatkan masa majikan dan mengurangkan kesesakan di kaunter pejabat Imigresen hingga ada yang terpaksa datang awal pagi bagi menunggu giliran.

Pada Rabu, mStar Online melaporkan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin berkata, kerajaan tidak sepatutnya menutup kaunter memperbaharui PLKS serta-merta sekiranya mahu menilai keberkesanan perkhidmatan baharu menerusi MyEG.

Katanya, sekiranya kerajaan mahu membuat percubaan terhadap sistem baharu tersebut, sistem lama sepatutnya dikekalkan dahulu dan diteruskan.

Mengulas perkara itu, Sakib berkata, pelaksanaan permohonan secara dalam talian perlu dilakukan tanpa menyediakan pilihan supaya matlamat untuk menjadikan pengurusan lebih cekap dan mengurangkan kesesakan di kaunter dapat dicapai.

“Walaupun kaedah ini masih POC (peringkat pembuktian konsep) tetapi adalah tujuan kita untuk membuat penilaian dalam tempoh tiga bulan bagi memanfaatkan majikan yang dapat menjimatkan masa mereka dalam membuat permohonan.

“Selepas tempoh POC ini, kita akan membuat penilaian dari segi keberkesanan dan sambutannya sebelum membuat keputusan mengenai penambahbaikannya,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya sedia menerima cadangan, pandangan dan aduan berkaitan pelaksanaan baharu ini bagi membantu mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan jabatan itu.

“Kita juga akan mempertimbangkan cadangan mereka yang meminta supaya menyediakan pilihan buat majikan selepas kita membuat penilaian nanti,” kata Sakib.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, pelaksanaan MyEG bertujuan untuk memendekkan tempoh memproses permohonan iaitu hanya satu atau dua hari bekerja berbanding dua hingga empat minggu mengikut kaedah sebelum ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan