Australia Diharap Bantu Bawa Pulang Sirul Azhar Ke Malaysia

Diterbitkan: Khamis, 15 Januari 2015 8:24 PM

Wan Junaidi Tuanku Ja'afar.

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Malaysia berharap kerajaan Australia memberi kerjasama dalam usaha membawa pulang tertuduh kedua kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, Koperal Sirul Azhar Umar ke Malaysia sekiranya dia masih berada di negara berkenaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata mahkamah di Australia mempunyai bidang kuasa untuk menentukan sama ada anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu diekstradisi ke tanah air atau sebaliknya.

Beliau berkata sekiranya mahkamah Australia menghormati undang-undang dan keputusan mahkamah Malaysia, Sirul Azhar patut dihantar balik ke tanah air.
 
"Australia boleh menghantar dia (pulang ke Malaysia) berdasarkan hubungan baik dua negara," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan pejabat Konsular Nepal di Pulau Pinang di sini hari ini. 

Turut hadir, duta Nepal di Malaysia Dr Niranjan Man Singh Basnyat dan Konsul Kehormat Pejabat Konsular Nepal Pulau Pinang Datuk Huan Cheng Guan. 
 
Bagaimanapun, Wan Junaidi berkata buat masa ini, adalah masih terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi terhadap apa yang akan berlaku di mahkamah Australia.

Sirul Azhar, 43, tidak hadir ke mahkamah pada Selasa lepas kerana berada di luar negara dan susulan itu Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya. 

Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua anggota UTK iaitu Sirul Azhar dan tertuduh pertama Cif Inspektor Azilah Hadri selepas didapati bersalah membunuh Altantuya sembilan tahun lepas. 

Mahkamah Persekutuan juga sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan kedua-dua mereka.

Sementara itu, mengenai penubuhan pejabat konsular pertama di Malaysia itu, beliau berharap ia mampu mengeratkan lagi hubungan diplomatik antara Malaysia dan Nepal, selain memudahkan urusan kedua-dua negara dalam semua bidang terutamanya keselamatan.

Beliau berkata kerajaan Nepal juga merancang untuk membuka peluang pelaburan kepada rakyat Malaysia terutamanya dalam bidang pertanian, infrastruktur dan penjanaan kuasa memandangkan negara mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang berkenaan. 

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan