Cadangan Jadikan BI Subjek Wajib Lulus SPM Diteruskan

Diterbitkan: Khamis, 15 Januari 2015 10:00 AM

P.Kamalanathan.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan cadangan untuk menjadikan Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan berkata mereka menerima beberapa memorandum daripada pelbagai kumpulan meminta penangguhan terhadap keputusan tersebut.

"Kami akan meneruskan keputusan dengan menjadikan Bahasa Inggeris subjek wajib lulus walaupun menerima beberapa memorandum dari pelbagai kumpulan meminta kami untuk menangguhkan keputusan tersebut.

"Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap kepentingan dalam penguasaan Bahasa Inggeris," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Universiti Tun Abdul Razak dan Kelab Rotary Kuala Lumpur di sini, Rabu.

Menurut Kamalanathan, kementerian tersebut akan melakukan yang terbaik untuk membantu para guru dan pelajar dari segi persiapan untuk menghadapi peperiksaan itu pada tahun hadapan, termasuk menghantar guru Bahasa Inggeris ke sekolah yang merasakan mereka belum bersedia.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Bahasa Inggeris akan menjadi subjek wajib lulus pada SPM tahun hadapan.

Semasa majlis itu, Kamalanathan merasmikan pelancaran program REACH, sebuah projek Bahasa Inggeris dengan murid sekolah rendah.

Beliau memuji usaha Kelab Rotary, mahasiswa universiti Tun Abdul Razak dan 30 sukarelawan yang menjalankan program interaksi Bahasa Inggeris untuk murid-murid di sekolah Kampung Sungai Lui, Hulu Langat selama sembilan bulan tahun ini.

"Program tersebut amat penting dalam membantu murid-murid sekolah rendah untuk menjadi lebih yakin bertutur dalam Bahasa Inggeris ketika di luar bilik darjah," katanya.

Mengulas mengenai laporan seorang pelajar Tingkatan Tiga yang dilarang memasuki kelas kerana memakai baju kurang, Kamalanathan menasihatkan ibu bapa supaya membuat aduan kepada pejabat pendidikan daerah berdekatan.

Tags / Kata Kunci: Bahasa Inggeris , SPM , P.Kamalanathan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan