Bomba Terima Hampir 100,000 Panggilan Kecemasan Tahun Lepas

Diterbitkan: Khamis, 15 Januari 2015 3:43 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Bencana banjir dan kemarau menyumbang kepada rekod panggilan kecemasan tertinggi yang pernah dicatatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) apabila menerima 99,830 panggilan, tahun lepas.

Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, ia merupakan peningkatan 46.2 peratus berbanding 68,280 panggilan pada tahun sebelumnya.

"Biasanya, kita menerima 60,000 hingga 70,000 panggilan kecemasan dalam setahun.

"Pada tahun lalu, daripada jumlah keseluruhan 99,830 panggilan kecemasan yang diterima 54,540 merupakan panggilan kebakaran, 42,712 panggilan menyelamat serta 1,574 adalah panggilan tugas-tugas khas," katanya kepada pemberita selepas upacara Perbarisan Tahunan 2015 JBPM di ibu pejabat JPBM di sini, Khamis.

Berdasarkan perkembangan tersebut, Wan Mohd Nor berkata JBPM mengadakan persediaan rapi untuk menghadapi kemungkinan kemarau dan banjir pada tahun ini.

"JBPM menambah dua aset penting iaitu lori dan bot. Pada masa ini JBPM mempunyai 500 buah bot dan sejumlah 50 bot sudah diterima penghujung tahun lepas. Bagi lori pengangkut, sekarang berjumlah 102 dan ia akan ditambah 100 lagi pada penghujung bulan ini.

"Sementara 13 bot amfibia yang ada masa ini akan ditambah lima lagi. Bot amfibia sangat berguna di kawasan yang terputus jalan perhubungan apabila berlaku bencana banjir kerana ia boleh bergerak dalam banjir dan di jalan raya," jelasnya.

Wan Mohd Nor berkata pada tahun ini JBPM akan turut memberi tumpuan kepada penubuhan Pasukan Bomba Komuniti di peringkat kampung dan kawasan perumahan.

"Bomba komuniti ini banyak membantu dalam kejadian bencana kerana mereka sudah diajar oleh JBPM dari segi pengurusan bencana dan kebakaran," katanya, sambil menambah Pasukan Bomba Komuniti turut memainkan peranan dalam pengurusan bencana di Kemaman, Terengganu baru-baru ini.

Mengulas mengenai pencegahan kebakaran, Wan Mohd Nor berkata pada tahun ini JBPM akan menjalankan kempen pemasangan pengesan asap di rumah bagi memberi amaran segera apabila berlaku kebakaran.

"Hampir 100 peratus kematian akibat kebakaran berlaku di rumah. Kebanyakan mangsa terdiri daripada orang tua, kanak-kanak dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

"Hasil kajian yang dibuat di Amerika Syarikat mendapati pemasangan alat pengesan asap berjaya mengurangkan kematian sehingga 50 peratus," katanya.



iklan

Kolumnis

iklan

Iklan