Kaunter PLKS Tak Patut Ditutup - MEF

Diterbitkan: Rabu, 14 Januari 2015 12:52 PM

Sekumpulan majikan mendaftarkan pekerja mereka di kaunter sementara MyEG di luar Jabatan Imigresen Pulau Pinang di Butterworth.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kerajaan tidak sepatutnya menutup kaunter untuk memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) serta-merta sekiranya mahu menilai keberkesanan perkhidmatan baharu yang kini menggunakan sistem dalam talian menerusi MyEG Services Bhd (MyEG).

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, sekiranya kerajaan mahu membuat percubaan terhadap sistem baharu tersebut, sistem lama sepatutnya dikekalkan dahulu.

“Pada masa sama, kita mencuba sistem baharu itu untuk melihat sama ada ia mendapat sambutan atau tidak, dan berdasarkan hasil percubaan di kedua-dua saluran perkhidmatan itu iaitu kaunter yang disediakan Jabatan Imigresen dan MyEG, barulah keputusan dapat dibuat.

“Tetapi apa yang berlaku, kaunter di pejabat Imigresen ditutup serta-merta dan kita paksa majikan untuk terus menggunakan perkhidmatan secara dalam talian,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Beliau mengulas mengenai tempoh tiga bulan yang diberikan Jabatan Imigresen sebagai percubaan bagi melihat keberkesanan perkhidmatan dalam talian itu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim pada Selasa berkata, perkhidmatan menerusi MyEG itu menjimatkan masa kerana dapat mengurangkan kesesakan di pejabat jabatan itu hingga ada yang menunggu giliran sejak awal.

Mustafa turut memberitahu ramai yang mendakwa MyEG sebagai kroni kepada jabatan itu berikutan pelaksanaan perkhidmatan baharu itu sedangkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terbukti keberkesanannya terhadap sistem dalam talian.

Mengulas perkara tersebut, Shamsuddin berkata, pihaknya menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan kesesakan dan menjimatkan masa majikan tetapi pembayaran bagi caj perkhidmatan itu membebankan.

“Sebelum pertukaran kepada kaedah yang baharu, perkhidmatan ini diberi percuma berbanding RM38 yang ditetapkan sekarang,” katanya.

Beliau turut mendakwa sistem dalam talian itu menggalakkan monopoli kerana difahamkan majikan yang memperbaharui permit disaran supaya membeli skim perlindungan insurans yang ditawarkan MyEG.

“Kenapa pula kita paksa majikan untuk membeli insurans daripada MyEG dan lebih tidak adil apabila majikan yang enggan (beli insurans MyEG) dikenakan bayaran RM58,” katanya.

Shamsuddin turut mempersoalkan mengenai caj RM38 yang dikenakan MyEG antara lain untuk menanggung kos penghantaran pulang pekerja asing tanpa izin (Pati) yang ditahan ke negara asal.

“Kenapa pula majikan dibebankan dengan bayaran berkenaan. Saya merasakan ia sesuatu yang pelik kerana majikan dihukum dengan kehadiran pekerja asing tanpa izin,” katanya sambil menyuarakan kebimbangan masalah Pati tidak akan selesai jika ‘tugas’ itu diberikan kepada MyEG.

Sementara itu, Shamsuddin berkata, kaedah baharu PLKS juga tidak boleh disamakan dengan JPJ kerana sebagai contoh, walaupun orang ramai boleh memperbaharui lesen memandu menerusi MyEG, tetapi kaunter jabatan itu masih beroperasi menyediakan perkhidmatan tersebut.

“Di kaunter JPJ, perkhidmatannya adalah percuma. Di MyEG ada caj yang dikenakan. Selain itu, orang ramai juga boleh memperbaharui lesen memandu di pejabat pos.

“Sama ada di kaunter, MyEG atau pejabat pos, orang ramai mempunyai pilihan untuk menggunakan perkhidmatan itu, yang mana memudahkan mereka. Kerajaan sepatutnya menjadikan contoh ini untuk kemudahan perbaharui PLKS,” katanya.

Tags / Kata Kunci: MEF , PLKS , MyEG , Shamsuddin Bardan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan