Sekolah Operasi Tanpa Elektrik, Air - PIBGN

Diterbitkan: Rabu, 14 Januari 2015 3:19 PM

Mohamad Ali Hasan

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Beberapa sekolah di Pantai Timur yang terbabit dalam musibah banjir baru-baru ini terpaksa memulakan sesi persekolahan tanpa bekalan elektrik dan air sepenuhnya, demikian menurut aduan yang diterima Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBGN).

Presidennya, Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, situasi berkenaan menyukarkan guru dan pelajar untuk memberi tumpuan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran.

Sehubungan itu, beliau meminta pertimbangan dan tindakan segera kerajaan dan agensi yang berkaitan untuk memastikan keperluan asas itu dapat disediakan di sekolah-sekolah yang dilanda banjir.

"Pihak kami menerima aduan terutamanya di Pahang, Kelantan dan Terengganu. Ada sekolah yang beroperasi menggunakan generator dan bekalan air bersih yang dihantar pihak kerajaan sahaja," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu.

Sebelum ini ,terdapat laporan dan rungutan yang diterima daripada guru dan ibu bapa bahawa ada sekolah yang terpaksa meneruskan sesi persekolahan biarpun bekalan elektrik dan air belum pulih sepenuhnya.

Difahamkan, ada juga sekolah di mana guru dan pelajarnya terpaksa membawa bekalan air termasuk air mineral setiap kali ke tandas, manakala lilin digunakan ketika mendaftar pelajar pada hari pertama sekolah dibuka.

Bagaimanapun, Mohamad Ali memaklumkan, Kementerian Pendidikan telah memberi kelonggaran kepada sekolah-sekolah yang terjejas ini untuk menangguhkan sesi persekolahan hingga sekolah dapat dibersihkan sepenuhnya.

Mengulas lanjut,  beliau menyambut baik usaha kerajaan mempercepatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mula diagihkan Khamis ini,  kerana ia dapat membantu meringankan beban mangsa banjir terutamanya di negeri yang terjejas akibat banjir.

"Selain BR1M, kita juga harap bantuan persekolahan RM100 disegerakan, kerana ia dapat meringankan beban keluarga, terutamanya untuk membeli barangan persekolahan seperti pakaian seragam dan buku sekolah.

"Ini kerana kebanyakan kelengkapan sekolah anak mereka telah musnah dan dihanyutkan ketika banjir," katanya.

Justeru beliau juga berharap sukarelawan dapat membantu untuk membersihkan debu dan lumpur di kawasan sekolah yang teruk dilanda banjir seperti di Manek Urai dan Temerloh.

"Sekolah ini perlu cepat dibersihkan, supaya sesi pembelajaran dapat segera dimulakan, jika tidak pelajar akan ketinggalan. Selain itu, kemudahan dan infrastruktur yang rosak dan musnah akibat banjir perlu segera dibaik pulih.

"Kita harap makmal komputer dan buku-buku yang rosak segera digantikan, ini kerana kita mahu sesi pembelajaran dan pengajaran dapat segera dimulakan," katanya.

Loke Yim Pheng.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Loke Yim Pheng berkata, beliau yakin guru sentiasa bersedia untuk memulakan sesi pembelajaran walaupun bekalan elektrik dan air di sekolah yang teruk dilanda banjir belum pulih sepenuhnya.

"Saya yakin guru-guru sentiasa komited dengan tugas mereka untuk mendidik anak bangsa, walaupun tanpa bekalan elektrik dan air yang sempurna mereka masih mengajar.

"Namun yang lebih utama adalah pihak ibu bapa dan pelajar itu sendiri, sama ada mereka mahu ke sekolah atau tidak. Ibu bapa harus memainkan peranan penting dalam memastikan anak mereka tetap pergi ke sekolah walaupun tanpa keperluan asas berkenaan, atau tanpa pakaian seragam sekolah.

"Kita tidak mahu pelajar ini ketinggalan. Pihak Kementerian Pendidikan juga telah memberikan kelonggaran pelajar tidak semestinya perlu memakai pakaian seragam sekolah," katanya. 


Tags / Kata Kunci: PIBGN , bekalan air , elektrik , mangsa banjir

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan