Malaysia Bukan Lagi Transit Untuk Militan IS

Diterbitkan: Selasa, 13 Januari 2015 7:20 AM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tindakan tegas polis terhadap aktiviti kumpulan Negara Islam (IS) di sini telah memberikan tamparan hebat kepada kumpulan pengganas itu yang menggunakan Malaysia sebagai transit untuk ahli yang direkrut memasuki Syria bagi menyertai perjuangan mereka.

Pihak yang merekrut kumpulan militan di Syria baharu sahaja menulis amaran di laman web IS, menggesa rakyat Indonesia untuk tidak transit di Malaysia, dengan menyatakan tindakan sedemikian sama seperti mereka membunuh diri.

Menggunakan nama Abu Hud, dia berkata ramai rakyat Indonesia yang transit di negara ini sejak beberapa bulan lalu telah ditangkap sebelum mereka sempat sampai ke destinasi.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, ketika Cawangan Khas (Bahagian Anti Pengganas) Bukit Aman memburu rakyat Malaysia yang cuba untuk menyertai IS, mereka juga memantau warganegara lain yang direkrut untuk menyertai kumpulan itu.

"Kita gembira usaha kita menunjukkan hasil dan dapat menghalang militan daripada menyertai IS melalui Malaysia.

"Kita akan terus berwaspada di semua pintu keluar dan masuk utama untuk memastikan tidak ada yang menyelinap masuk melalui laluan kita," katanya kepada The Star, Isnin.

Polis telah berulang kali berkata bahawa mereka tidak akan membenarkan Malaysia menjadi tempat persembunyian, pangkalan atau tempat transit untuk pengganas dan militan.

Laluan udara antarabangsa yang pelbagai dari Kuala Lumpur menjadikannya mudah untuk sesiapa sahaja dari rantau ini untuk pergi ke Syria melalui Turki, terutama anggota militan yang cuba mengelakkan diri mereka daripada dikesan.

Beberapa anggota IS dari Indonesia yang direkrut telah menyamar sebagai rakyat Malaysia dan pergi ke Turki, manakala sesetengah rakyat Malaysia yang direkrut IS telah masuk melalui Indonesia dan kemudian ke Turki.

Apabila Malaysia tidak lagi menjadi pilihan yang berdaya maju, sumber memberitahu The Star bahawa militan mungkin akan beralih kepada laluan alternatif seperti Brunei, Hong Kong, China dan beberapa negara Eropah untuk pergi ke Turki dan kemudian ke Syria.

"Pihak berkuasa mendapati Brunei juga adalah satu laluan alternatif yang digunakan oleh militan Malaysia berikutan penangkapan bulan lepas.

"Ada kemungkinan militan Indonesia juga mungkin menggunakan laluan yang sama," kata sumber berkenaan.

Percubaan juga dibuat dengan terbang ke Arab Saudi atas alasan mahu menunaikan Umrah dan ke Jordan sebelum mendapatkan laluan ke wilayah yang dikawal IS, menurut sumber.

Walau bagaimanapun, sumber lain menggesa supaya langkah berjaga-jaga terus diambil, dengan mengatakan bahawa amaran pada laman web IS berkemungkinan besar adalah muslihat untuk membuatkan pihak berkuasa tidak bersedia.

Noor Rashid berkata Bukit Aman telah bekerjasama dengan organisasi perisikan negara-negara jiran untuk meningkatkan lagi keberkesanan dan keupayaan keselamatan.

Sejak Februari tahun lepas, Cawangan Khas (Bahagian Anti Pengganas) Bukit Aman telah menahan 51 rakyat Malaysia yang disyaki militan.

Bulan lalu, 12 rakyat Indonesia, termasuk lima kanak-kanak telah ditangkap di Selangor dalam satu operasi besar-besaran.

Kumpulan warga Indonesia itu merancang untuk terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Turki dan sebelum terbang ke Syria.

Tags / Kata Kunci: IS , Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan