SPAD Perkenal Kad Transit Menjelang 2017

Diterbitkan: Selasa, 13 Januari 2015 5:33 PM

Syed Hamid (dua kanan), mencuba kad "touch n go" di Stesen Keretapi Bandar Tasik Selatan sambil diperhatikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Azmi Abdul Aziz (dua,kiri) dan Pengurus wilayah Tengah KTMB, Md.Rosli Md. Noor (kiri) selepas mempengerusikan mesyuarat menaiktaraf prasarana dan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di pejabat SPAD di sini, Selasa.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD) akan memperkenalkan sistem integrasi tanpa pembayaran tunai (ICPS) di semua laluan bagi menaiktaraf pembangunan dan mutu pengangkutan awam di negara ini berkuat kuasa Januari 2017.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Keretapi Malaysia Berhad (KTMB) dan Prasarana Malaysia Berhad untuk membangunkan sistem tersebut bagi menjamin kelancaran perjalanan ke sesuatu destinasi dengan hanya menggunakan satu tiket.

"Pengguna kini boleh menikmati pengangkutan awam melalui mana-mana perkhidmatan seperti MRT, KTMB, LRT, teksi dan bas.

"Sasaran kami adalah untuk menyediakan lebih banyak stesen integrasi bagi mewujudkan suasana perjalanan yang efisien, selesa dan sistem pembayaran tanpa tunai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat Agenda Integrasi Perkhidmatan Rel di sini, Selasa.

Syed Hamid berkata, dengan perlaksanaan sistem itu, pengguna hanya perlu menyentuh kad di platform pemula dan destinasi akhir.

"Pengguna hanya perlu sentuh kad di destinasi awal dan lokasi terakhir yang ditujui. Ia berbeza dengan sistem sedia ada dimana pengguna perlu membeli kad atau membuat pembayaran di setiap platform," katanya.

Terdahulu, kira-kira 50 media dibawa melawat stesen rel di sekitar Kuala Lumpur untuk mendapat gambaran mengenai sistem integrasi yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun lagi.

Lawatan selama dua jam itu dimulakan dengan menaiki perkhidmatan monorel dari KL Sentral ke Stesen Hang Tuah, sebelum menuju ke Stesen Bandar Tasik Selatan (BTS) dan kembali semula ke KL Sentral.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal dan Pengarah Urusan Prasarana Malaysia Berhad, Azmin Abdul Aziz.

Sementara itu,  Mohd Nur Ismal berkata,  pihaknya cuba mewujudkan komuniti tanpa pembayaran tunai untuk menggalakkan lebih ramai pengguna menggunakan pengangkutan awam sekali gus memberi impak kepada ekonomi negara.

"Kita juga sedang bekerjasama dengan Touch N Go untuk mengeluarkan kad tersebut. Negara lain sudah lama mengamalkan penggunaan kad transit tanpa pembayaran tunai dan 90 peratus penggunaannya menembusi pasaran dalam negara itu.

"Namun penggunaannya di Malaysia hanya 10 peratus, itu tidak bagus dan membebankan pengguna yang inginkan perjalanan lebih lancar," katanya.

Tags / Kata Kunci: SPAD , kad transit , monorel

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan