200,000 Tan Sampah Dipungut Di Negeri Dilanda Banjir - Abdul Rahman Dahlan

Diterbitkan: Isnin, 12 Januari 2015 4:27 PM

Sebahagian sampah yang terkumpul selepas banjir surut di Kuala Krai baru-baru ini.

(Ubah saiz teks)

KUALA KANGSAR: Sebanyak 200,000 tan sampah dipungut di negeri dilanda banjir setakat ini, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata, jumlah itu dijangka mencecah antara 300,000 hingga 400,000 tan selepas pasca banjir berikutan masih terdapat kawasan ditenggalami air.

"Ini adalah cabaran kepada kementerian dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana ia melibatkan tapak pelupusan sampah yang turut dibanjiri air dan rosak," katanya kepada pemberita selepas melawat kerja gotong-royong pasca banjir di sini, Isnin.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya telah membuka tiga tapak pelupusan sampah sementara di Temerloh, Pahang.

"PBT boleh membuka pusat pelupusan sampah sementara jika ada keperluan," katanya.

Mengenai kos membaiki harta benda awam, infrastruktur dan pembersihan di kawasan seliaan majlis daerah atau PBT, Abdul Rahman berkata anggaran awal kos boleh mencecah sehingga lebih RM100 juta dan kemungkinan RM200 juta selepas semuanya diperincikan.

Mengenai Bandar Diraja Kuala Kangsar, beliau berkata keutamaan diberikan kepada membaik pulih infrastruktur seperti jeti dan kawasan persisiran sungai, memandangkan upacara pertabalan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah akan berlangsung tidak lama lagi.

"Saya telah berbincang dengan exco kerajaan negeri yang telah mengumpul data dan akan membentangkannya di mesyuarat exco kerajaan negeri. Mereka seterusnya akan panjangkannya kepada kementerian ini serta kementerian berkaitan yang lain.

"Kita tiada masalah untuk membantu mana-mana infrastruktur awam. Kita beri keutamaan di kawasan PBT yang terlibat dan senarai itu hendaklah datang daripada mereka dan mereka mesti memberi kita senarai keutamaan yang boleh kita lakukan dalam masa terdekat, contohnya parit dan jalan raya" katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya telah mengarahkan syarikat konsesi untuk menambah aset bagi memastikan proses pembersihan di negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), dilakukan secepat mungkin.

"Kita juga bekerjasama dengan syarikat konsesi untuk membantu kerana mereka mempunyai peralatan canggih yang mungkin tidak diperolehi oleh PBT di negeri-negeri yang tidak menerima pakai akta itu. Kita minta syarikat konsesi berkenaan untuk beri bantuan dari segi kelengkapan jentera pembersihan dengan peralatan canggih," kata Abdul Rahman.

Beliau memohon Kementerian Kewangan agar mempertimbangkan peruntukan untuk menyediakan peralatan yang mencukupi bagi menghadapi bencana banjir.

"Kita dapati di kawasan-kawasan tertentu tidak mmpunyai peralatan mencukupi dan kita akan panjangkan permohonan kepada Kementerian Kewangan dalam masa terdekat bagi menangani isu ini dengan lebih berkesan pada masa akan datang," katanya.

Tags / Kata Kunci: sampah , banjir , Abdul Rahman Dahlan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan