PBSM Cadang Jadikan Sembilan Kampung Terjejas Banjir Sebagai Kampung Angkat

Diterbitkan: Isnin, 12 Januari 2015 4:37 PM

Tunku Shahriman dan timbalannya, Datuk Wira Dr Bahari Datuk Abu Mansor (kiri) pada sidang media di ibu pejabat PBSM berhubung banjir, Isnin.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) bercadang menjadikan sembilan kampung yang terjejas teruk akibat banjir di pantai timur sebagai kampung angkat.

Pengerusi Kebangsaan PBSM Tan Sri Tunku Shahriman Tunku Sulaiman berkata inisiatif itu, yang merangkumi empat kampung di Kelantan, tiga di Terengganu dan dua di Pahang, bertujuan membantu membaik pulih infrastruktur sekali gus menyokong usaha pemulihan yang dijalankan kerajaan.

"Pelaksanaan program ini akan dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Kami juga akan pastikan kerjasama itu dikoordinasi sebaiknya bagi mengelak sebarang pertindihan kerja seterusnya memaksimumkan bantuan dan faedah yang boleh dihulurkan kepada mangsa yang terlibat," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, Isnin.

Banjir yang bermula pertengahan Disember lepas itu menjejaskan beberapa negeri terutama Kelantan, Terengganu dan Pahang, dengan kemuncak musibah itu menyaksikan lebih 200,000 penduduk dibawa ke pusat pemindahan.

Tunku Shahriman berkata, buat permulaan kampung pertama yang akan dijadikan kampung angkat ialah Kampung Pasir Tumboh di jajahan Gua Musang, Kelantan manakala baki lapan kampung lagi masih dalam proses penilaian akhir dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menurut beliau, matlamat jangka panjang program itu ialah untuk mewujudkan sebuah komuniti yang peka terhadap keselamatan dan ketahanan diri, ketika mengadapi sebarang bencana.

Tunku Shahriman berkata, bagi sebuah kampung angkat, PBSM menganggarkan peruntukan kira-kira RM500,000 diperlukan sebagai kos pelaksanaan dan menetapkan tempoh setahun untuk melaksanakan satu-satu program.

Tags / Kata Kunci: PBSM , kampung angkat , banjir

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan