K-Pop: Jakim Ada Keluarkan Garis Panduan Hiburan Untuk Penganjur Konsert

Diterbitkan: Isnin, 12 Januari 2015 3:21 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah pun mengambil inisatif mengeluarkan garis panduan hiburan dalam Islam untuk dirujuk penganjur bagi acara hiburan, kata jabatan itu bagi mengulas kontroversi aksi sumbang kumpulan pop Korea (K-Pop) bersama peminat beragama Islam di sebuah konsert di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, insiden itu telah meninggalkan kesan yang sangat memalukan kepada rakyat Malaysia khasnya umat Islam apabila melihat gadis melayu Muslim antara mereka dilihat obses terhadap artis K-Pop berkenaan.

Katanya, perlakuan tidak senonoh itu sememangnya boleh dijangka apabila konsert yang dianjurkan tidak menimbangkan kelebihan manfaat berbanding keburukan kesan daripada penganjuran konsert berkenaan.

Beliau menambah, Islam melarang penganjuran hiburan yang boleh melalaikan kerana kesan dari kelalaian itu lebih besar keburukannya.

“Jakim telah mengambil inisiatif menerbitkan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam yang diterbitkan jabatan itu sejak 2007.

“Namun, sejauh manakah garis panduan ini diberi perhatian dan dirujuk oleh semua agensi dan penganjur program?,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Aksi sebuah kumpulan pop Korea (K-Pop) memeluk tiga orang peminatnya yang bertudung ketika berada di atas pentas dalam konsert yang dianjurkan di Kuala Lumpur, baru-baru ini menjadi viral dan diperkatakan di laman sosial, Facebook. 

Othman berkata, penganjur konsert tersebut seharusnya bertanggungjawab dan tidak boleh lepas tangan dengan apa yang berlaku.

“Konsert tersebut adalah sama sekali tidak dirujuk kepada Jakim malah jabatan itu tidak dimaklumkan mengenai penganjurannya,” katanya.

Beliau menambah, Jakim telah mengarahkan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Jakim turut difahamkan pihak Puspal (Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara) akan memanggil pihak penganjur dan Jakim sedia memberi kerjasama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar mana-mana penganjur dan pihak yang terlibat meluluskannya meletakkan tanggungjawab yang serius mempertimbangkan kebaikan dan keburukan dalam penganjuran sesuatu aktiviti terlebih dahulu.

Beliau turut menasihatkan golongan muda supaya memelihara akhlak dan harga diri tanpa menunjukkan sikap yang melampau sampai sanggup membiarkan diri diperlakukan apa sahaja oleh artis yang disanjung.

“Walaupun pihak kerajaan sedaya upaya menyediakan pelbagai bentuk aktiviti dan program untuk belia namun pemantauan dan didikan ibu bapa juga penting bagi menasihati dan mengawal aktiviti anak-anak dari terjerumus kepada aktiviti yang tidak sihat,” kata Othman.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan