Ketua Pembangkang: BN Selangor Tak Minat, Anggap Tak Penting

Diterbitkan: Isnin, 12 Januari 2015 4:16 PM

Mohd Shamsuddin Lias.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kontroversi terbaharu melibatkan Barisan Nasional (BN) Selangor dijangka tercetus apabila parti itu berkemungkinan tidak akan menamakan mana-mana wakil rakyatnya mengisi kekosongan jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Menyifatkan jawatan itu sebagai tidak penting, bekas Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd Shamsuddin Lias membayangkan BN dan Umno tidak berminat untuk mengisi kedudukan tersebut.

"Mungkin BN tak akan isi jawatan ketua pembangkang, tak salah jika jawatan itu dibiarkan kosong. Ia tak jejaskan perjalanan DUN Selangor.

"Malah di DUN Melaka juga tidak ada ketua pembangkang, jadi tak salah (jika Selangor tidak ada ketua pembangkang)" katanya kepada mStar Online pada Isnin.

Pada 8 Disember lalu, Shamsuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong melepaskan jawatan ketua pembangkang berkuatkuasa serta merta.

Ini berikutan keengganannya menerima pelantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) Selangor sebagaimana menurut peraturan tetap DUN Selangor yang baharu dipinda.

Mengulas lanjut mengenai isu itu, Shamsuddin bagaimanapun berkata, keputusan mengenai kekosongan jawatan masih belum dimuktamadkan.

Menurutnya, sehingga kini Umno Selangor masih belum mengadakan perbincangan khusus berhubung perkara itu.

"Kita belum bincang secara khusus dengan Pengerusi Perhubungan Negeri (Datuk Seri Noh Omar). Kita akan maklumkan bila tiba masanya," katanya.

Persidangan DUN Selangor bagi penggal 2015 dijangka bermula pada awal Mac ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan