Sampah Di Kawasan Banjir Perlu Diurus Dengan Baik - KP Kesihatan - Berita Semasa | mStar

Sampah Di Kawasan Banjir Perlu Diurus Dengan Baik - KP Kesihatan

Diterbitkan: Ahad, 11 Januari 2015 3:35 PM

Dr Noor Hisham Abdullah.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sampah yang kini menimbun di kawasan yang dilanda banjir perlu dilupuskan dengan segera bagi mengelakkan berlakunya penyebaran wabak penyakit berjangkit pasca banjir, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kelewatan dalam menguruskan pelupusan sampah itu akan menggalakkan pembiakan lipas, lalat dan tikus (Lilati) yang menjadi punca penyakit berjangkit bawaan air dan makanan.

"Persekitaran yang kotor serta sisa makanan tidak diurus akan merangsang peningkatan populasi tikus yang menyebabkan penyakit leptospirosis (kencing tikus)," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Beliau berkata untuk itu, agensi serta pihak kerajaan tempatan dan sukarelawan di kawasan-kawasan yang terjejas perlu melupuskan timbunan sampah dengan baik dan cepat bagi mengelakkan risiko penyakit berjangkit.

Orang ramai dinasihat supaya segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami tanda atau gejala penyakit berjangkit antaranya muntah, sakit perut, radang selaput mata dan jaundis, katanya. 

Beliau berkata Kementerian Kesihatan juga sedang mengenal pasti mekanisme terbaik dalam mengendalikan pengurusan sampah sarap di fasiliti kesihatan terutama di klinik kesihatan dan klinik desa bagi membolehkan perkhidmatan kesihatan dapat beroperasi semula secepat mungkin.
Tags / Kata Kunci: banjir , sampah , Dr Noor Hisham Abdullah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan