Tweet Tidak Berniat Hina Islam - Paulsen

Diterbitkan: Ahad, 11 Januari 2015 4:57 PM

Eric Paulsen

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Selepas mendapat kecaman dan kritikan daripada pengguna Internet, peguam hak asasi manusia, Eric Paulsen akhirnya tampil memberikan penjelasan bahawa dia tidak berniat untuk menghina Islam apabila menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan ekstremisme. 

Dalam status terbaru yang dimuat naik di akaun twitter miliknya, pengasas dan pengerusi eksekutif Lawyers of Liberty itu berkata beliau hanya merujuk kepada Jakim sebagai sebuah agensi kerajaan. 

"Tweet saya hanya merujuk Jakim sebagai sebuah agensi kerajaan. Mengkritik Jakim tidak harus ditafsirkan sebagai menghina Islam," katanya. 

Terdahulu, pada pagi Ahad, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut mempertahankan Jakim daripada tohmahan yang dilemparkan Paulsen. 

Beliau bertanya kepada Paulsen sama ada cara agensi agama itu meminta umat Islam berdoa untuk rakyat kesejahteraan rakyat Malaysia adalah satu bentuk ekstremisme. 

"Setiap hari Jumaat, Jakim akan meminta masjid agar berdoa untuk kesejahteraan Malaysia, yang juga merupakan negara anda @EricPaulsen101. Ya, ia adalah ekstremisme," kata Khairy di akaun twitternya. 

Paulsen dikritik hebat, ekoran tweetnya yang menggesa kerajaan melihat semula khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jakim kerana agensi itu didakwa mempromosikan ekstremisme. 

"Jakim sedang mempromosikan ekstremisme setiap hari Jumaat. Kerajaan harus menumpukan perhatian terhadap perkara tersebut sekiranya ia mempunyai kaitan serius terhadap ekstremisme di Malaysia," katanya di akaun twitter miliknya. 

Bagaimanapun, tweetnya itu telah dipadam selepas menerima kritikan daripada pengguna internet yang menyifatkan komen beliau itu satu bentuk 'Islamophobia'. 

"Sekiranya kebodohan merupakan satu kesalahan jenayah, saya pasti lelaki ini tidak akan terlepas daripada hukuman," kata Khairy, sambil memuat naik paparan skrin tweet Paulsen yang telah dipadamkan itu. 

Tweet kontroversi yang dimuatnaik Paulsen itu turut menarik perhatian Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. 

"Kenyataan seperti ini perlu disiasat di bawah Akta Hasutan. Pihak polis akan menyiasatnya di bawah akta ini," kata Khalid di akaun twitter miliknya pada Sabtu.

Tags / Kata Kunci: Eric Paulsen , Jakim , ekstremisme

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan