Pensyarah MMU Reka Khemah 'Payung Kehidupan' Bantu Mangsa Banjir

Diterbitkan: Ahad, 11 Januari 2015 6:28 PM

Pensyarah Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Dr. Che Zulkhairi Abdullah meneliti bahan kain binaan khemah yang direka cipta untuk program Payung Kehidupan di MMU Cyberjaya baru-baru ini. -Foto BERNAMA.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Dengan kepakaran dan kreativitinya, seorang pensyarah Universiti Multimedia (MMU) menghasilkan khemah yang mudah dipasang dengan kos yang jauh lebih rendah untuk dijadikan kediaman sementara mangsa banjir. 

Dr Che Zulkhairi Abdullah, 45, daripada Fakulti Multimedia Kreatif MMU mendapat ilham untuk menghasilkan khemah yang diberi nama 'Payung Kehidupan' itu selepas bencana banjir melanda negeri di pantai timur baru-baru ini.

Beliau berkata dengan kos serendah RM50 hingga RM100, khemah ciptaannya yang ringkas, seluas 3.048 meter x 3.048 meter, boleh menempatkan dua dewasa dan seorang kanak-kanak, boleh siap dalam tempoh kira-kira sejam sahaja.
PASANG… Khemah yang direka cipta oleh Pensyarah Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Dr. Che Zulkhairi Abdullah untuk program Payung Kehidupan di MMU Cyberjaya baru-baru ini.

"Selepas banjir mula surut, mangsa banjir yang kembali ke rumah sendiri perlu mendapatkan tempat berteduh khususnya bagi rumah mereka yang rosak atau hilang dihanyutkan air. Maka, khemah ini yang senang dibina sangat sesuai untuk dijadikan kediaman sementara di tapak rumah mereka yang rosak. 
 
"Khemah yang berkonsep permainan Lego boleh dibina dalam pelbagai saiz dan boleh diperluaskan atau menambah bilik, serambi, tempat mandi dan tandas mengikut keperluan dari semasa ke semasa dengan menambah bahan-bahan binaan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi. 
 
Berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan dari University of Birmingham, United Kingdom, Che Zulkhairi berkata susun atur khemah Payung Kehidupan itu turut mengambil kira aspek kebersihan dan keselamatan penghuni.

Pensyarah Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Dr. Che Zulkhairi Abdullah menerangkan struktur rekaan khemah dari bahan paip pvc kepada dua pelajar MMU, Ain Asyikin Adanan, 23, (kanan sekali) dan Nurul Nabilah Zulkifli, 23, (tengah) ketika berada di dalam khemah yang direka cipta untuk program Payung Kehidupan di MMU Cyberjaya baru-baru ini.

Sambil memberi contoh, beliau berkata sebuah khemah biasa di pasaran berharga kira-kira RM250 hingga RM400 tetapi tidak boleh diperbesarkan malah ia berat dan sukar dibawa ke lokasi bencana.

Katanya khemah itu boleh dibina di lokasi, menggunakan bahan mudah diperoleh seperti kanvas, paip PVC, kayu, tali penyambung siku L dan T, klip dan pemegang kanvas. 

Bagi mangsa banjir yang inginkan khemah yang lebih luas dan selesa, beliau berkata mereka boleh mendapatkan khemah seperti yang terdapat di pasar malam dan diubah suai dengan menambah dinding, tingkap, ruang pengudaraan dan net untuk menghalang serangga.

Selain itu, beliau berkata bahan binaan khemahnya senang dibawa dan ia amat praktikal untuk digunakan semasa bencana dan untuk tujuan lain. 

Sehubungan itu, beliau telah berkongsi hasil ciptaannya dengan melampirkan grafik, pelan dan teknik di laman sosial Facebooknya iaitu DrZul Abdullah untuk panduan orang ramai.
 
"Ini merupakan sumbangan kecil saya untuk membantu mangsa banjir," katanya sambil menambah terdapat beberapa NGO yang berminat untuk mempelajari teknik pemasangan khemah itu semasa misi bantuan di pantai timur.

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan