KBS Setuju Cadangan Penubuhan Dewan Perhimpunan Belia Asean

Diterbitkan: Ahad, 11 Januari 2015 8:20 PM

Khairy Jamaluddin.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersetuju dengan cadangan penubuhan Dewan Perhimpunan Belia Asean namun ia perlu mendapat kelulusan Jemaah Menteri terlebih dahulu.

Menteri berkenaan Khairy Jamaluddin berkata mekanisme yang sesuai akan diwujudkan dengan kerjasama Kementerian Luar untuk pelaksanaannya kelak.
 
"Bagi peringkat awal, dewan ini akan digerakkan sama ada dengan sekretariat sendiri atau melalui kerjasama dengan Jawatankuasa Kerjasama Belia Asean," katanya ketika menggulung ucapan penutup persidangan pertama Parlimen Belia Malaysia di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Khairy berkata penubuhan dewan itu akan membuka peluang dan ruang kepada belia tempatan bertukar pandangan dengan rakan Asean mereka dan bertepatan dengan kalendar tahun ini yang menyaksikan Malaysia menjadi pengerusi Asean.

Penubuhan dewan berkenaan merupakan antara sembilan usul yang dibentang, dibahas dan diluluskan dalam dua hari persidangan yang dihadiri 133 anggota belia pelbagai lapisan masyarakat seluruh negara.

Parlimen Belia Malaysia, platform melahirkan barisan pelapis kepimpinan muda berkaliber dan berwibawa, yang bersidang buat kali pertama sejak semalam, ditangguhkan hari ini ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

Antara yang menarik perhatian adalah usul penubuhan program Perhimpunan Belia Asean yang berfungsi sebagai medium perbincangan dan penggubalan polisi serantau dalam kalangan belia serantau serta usul penubuhan Institut Kemahiran Insaniah Belia.

Usul lain adalah supaya kerajaan menubuhkan 'Skim Biasiswa Kecemerlangan Kemahiran', penyediaan Kad Diskaun Khas kepada belia bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam darat, penubuhan 'Kesatuan Pekerja Muda' bagi permasalahan dan isu-isu melibatkan pekerja muda.

Persidangan itu turut meluluskan usul pelaksanaan Pelan Pengurusan Bencana Peringkat Komuniti untuk keberkesanan mekanisme pengurusan bencana selain penambahbaikan pendidikan di luar bandar dalam konteks guru cemerlang.

Mengulas mengenai perbahasan, Khairy kagum kerana perwakilan berjaya membuktikan bahawa ia bukan satu inisiatif yang membazir kerana perhimpunan itu sebaliknya menjadi medan mengumpulkan idea-idea baik untuk pembangunan belia dan negara.

Khairy berkata segala perkara yang dibangkitkan semasa persidangan itu akan diproses dan dijadikan laporan untuk diajukan kepada Kabinet sebelum diserahkan kepada mana-mana kementerian untuk tindakan lanjut.

Pada sidang media kemudian, beliau berkata tarikh bagi sesi Parlimen Belia seterusnya akan ditentukan selepas perbincangan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa Parlimen Belia itu akan bersidang tiga sesi setiap tahun dan dijadual diadakan seterusnya pada Jun dan September.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Ronald Kiandee berkata pada keseluruhannya, perwakilan membuat persiapan yang baik dan mampu berbahas dengan baik.
 
"Perbahasan yang sangat memuaskan. Mereka ada kemahiran dan tajuk perbincangan yang menarik malah ada perwakilan yang boleh dibanggakan," katanya kepada Bernama.

Parlimen Belia merupakan inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kira-kira dua tahun lepas bertujuan melahirkan barisan pelapis kepimpinan muda sejajar keperluan negara masa kini dan akan datang. 

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan