500,000 Pelajar & 5,000 Pengusaha Jadi 'Mangsa' Penamatan Skim Penggantian Bas Sekolah

Diterbitkan: Rabu, 7 Januari 2015 12:30 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Belum pun selesai kemelut kadar tambang bas sekolah, kini timbul pula isu berhubung penamatan Skim Penggantian Bas Sekolah oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkuat kuasa 31 Disember lalu.

Skim tersebut diperkenalkan selaras pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Bajet 2013 bagi meringankan beban pengusaha bas sekolah untuk menggantikan bas lama yang berusia melebihi 25 tahun kepada bas baharu. Ia bagi menjamin keselamatan pelajar dan pengguna jalan raya.

Berikutan penamatan skim itu, dikhuatiri 500,000 pelajar di seluruh negara yang menggunakan kira-kira 5,000 perkhidmatan bas sekolah yang berusia lebih 25 tahun akan berhadapan masalah untuk pergi dan balik dari sekolah.

Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) Amali Munif Rahmat berkata, jika tiada sistem baharu menggantikan skim pinjaman tersebut, kira-kira 500,000 pelajar yang menggunakan perkhidmatan tersebut akan terjejas.

Malah, katanya, seramai 5,000 pengusaha bas sekolah yang bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan ini akan hilang punca pendapatan.

"Mereka yang sempat memohon skim tersebut sebelum tarikh akhir mungkin terselamat. Tapi bagi mereka yang belum membuat permohonan, mereka akan 'mati katak' kerana hilang punca pendapatan," katanya kepada mStar Online.

Amali Munif berkata, tindakan tersebut dilihat akan mendorong pengusaha bas sekolah beroperasi secara haram memandangkan kira-kira 5,000 bas sekolah sedia ada menghampiri usia 30 tahun.

"Mereka (SPAD) mahu sekat pengusaha bas sekolah haram tapi penamatan skim tersebut akan menjejaskan kira-kira 5,000 pengusaha bas sekolah yang memiliki bas sekolah menghampiri usia 30 tahun.

"Sudah tentu mereka akan beroperasi secara haram untuk terus mencari rezeki kerana skim untuk menggantikan bas lama kepada bas baharu sudah ditamatkan," katanya.

Menurutnya, beliau terkejut apabila dimaklumkan mengenai penamatan skim tersebut menerusi surat daripada SPAD dalam tempoh kurang dua minggu lalu.

"Kenapa maklumkan mengenai penamatan skim ini diberi dalam masa yang singkat? Apa yang kita boleh buat dalam tempoh itu?," katanya.

Bagaimanapun, kata Amali Munif, SPAD memaklumkan skim tersebut akan digantikan dengan sistem pinjaman baharu yang lebih komprehensif dan ia akan dicadangkan kepada kerajaan terlebih dahulu.

"Buat masa ini, saya boleh katakan tiada penambah baikan daripada SPAD terhadap perkhidmatan ini. Mereka bukan menyelesaikan masalah tetapi memburukkan lagi keadaan," katanya.

Jelas beliau lagi, PPBSM akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu penamatan skim tersebut dalam masa terdekat.

"Perkara itu menimbulkan pelbagai persoalan sekarang. Jadi kita akan duduk membincangkan susulan penamatan skim ini. Jika tiada jalan penyelesaian, kira-kira 5,000 pengusaha bas ini akan terkapai-kapai. Mereka dalam dilema sama ada mahu meneruskan perkhidmatan atau tidak," katanya.

Menerusi tinjauan mStar Online di laman web badan itu, maklumat mengenai skim tersebut memaklumkan tempoh permohonan berkuat kuasa selama dua tahun bermula April 2013 dan akan berterusan sehingga April 2015.

Skim tersebut diuruskan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan pemberian rebat sebanyak RM10,000 dan bayaran kadar faedah tetap dua peratus ke atas pinjaman untuk menggantikan bas sekolah lama yang berusia melebihi 25 tahun kepada bas baharu.




Tags / Kata Kunci: SPAD , PPBSM , skim penggantian bas sekolah

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan