45 Sukarelawan Proton Bantu Mangsa Banjir Di Pantai Timur

Diterbitkan: Selasa, 6 Januari 2015 5:54 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Prihatin dengan nasib mangsa banjir yang melanda Pantai Timur baru-baru ini, Proton Holdings Berhad (Proton) menggerakkan 45 sukarelawan daripada kalangan kakitangannya sejurus air bah surut untuk membantu mangsa banjir di kawasan yang terjejas teruk akibat bencana itu.

Ia turut disertai anak syarikat milik penuhnya, iaitu Proton Edar Sdn Bhd (Proton Edar).

Misi Bantuan Banjir Proton ke Pantai Timur itu dilaksanakan selama dua hari bermula Khamis dan Jumaat lalu membabitkan kakitangan dari ibu pejabatnya di Subang Jaya, Selangor dan cawangan di Kota Baru, Kelantan dan Kuala Terengganu, Terengganu.

Sukarelawan Proton bertungkus-lumus membersihkan rumah mangsa yang berlumpur.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Harith Abdullah, misi bantuan itu adalah sebahagian daripada inisiatif anggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat automotif tempatan itu. 

"Kami turut berdukacita dengan kesusahan yang menimpa mangsa banjir di kawasan Pantai Timur. Majoritinya terpaksa menyelamatkan diri serta ahli keluarga dengan hanya sehelai sepinggang apabila banjir mula melanda pada bulan lalu," katanya.

Jelas beliau, misi bantuan dimulakan dengan kerja pembersihan tempat awam dan rumah orang tua di Kampung Sakar Sungai, Pasir Mas dan beberapa rumah kakitangan Proton yang terjejas akibat banjir di Pasir Hor. 

Bantuan keperluan turut diagihkan kepada mangsa banjir.

"Kampung tersebut dipilih kerana kedudukannya yang terletak jauh dari jalan utama selain tidak dikunjungi oleh mana-mana NGO dalam misi bantuan selepas banjir," katanya.

Pada misi itu, Proton turut menyumbangkan beberapa barangan keperluan termasuk bekalan makanan dalam tin, biskut, kelengkapan peribadi, air mineral, selimut, lampin bayi pakai buang, tuala wanita dan seluar dalam pakai buang. 

Semua barangan keperluan tersebut diserahkan oleh Abdul Harith bersama Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, En Norzahid Mohd Zahudi kepada wakil-wakil daripada 61 keluarga yang terjejas. 


Sukarelawan Proton meneruskan misi bantuan pada hari kedua ke Kemaman, Terengganu dengan sumbangan diserahkan kepada 142 keluarga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri itu yang ditimpa musibah banjir.

Beberapa barangan keperluan juga diserahkan kepada 60 keluarga lain yang terjejas menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. 

Abdul Harith berkata, misi bantuan Proton ini kemudiannya melawat tiga keluarga kakitangan syarikat itu yang terjejas di Kemaman dan Dungun.

"Kami turut simpati apabila mendengar bahawa beberapa kakitangan kami adalah sebahagian daripada mangsa yang terjejas akibat banjir. Justeru, kami telah melancarkan kutipan derma di kalangan kakitangan kami untuk membantu rakan-rakan mereka yang berada dalam kesusahan," katanya.

Jelas beliau, misi bantuan seperti itu memberi peluang kepada kakitangannya untuk menyemai semangat perikemanusiaan dan mencapai kepuasan diri dengan membantu mereka yang memerlukan.

Tags / Kata Kunci: Proton , banjir , Pantai Timur

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan