QZ8501: Juruterbang - Menteri 'Perang Mulut' Mengenai Taklimat Cuaca

Diterbitkan: Selasa, 6 Januari 2015 3:25 PM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Timbul beberapa persoalan berhubung prosedur operasi standard (SOP) peringkat pra-penerbangan AirAsia Indonesia, apabila berlakunya perang mulut di antara menteri pengangkutan dan juruterbang yang marah terhadap dakwaannya mengenai perlanggaran SOP sebelum penerbangan QZ8501 hilang.

AirAsia Indonesia berkata, juruterbang penerbangan QZ8501 telah 'melakukan penelitian sendiri' mengenai keadaan cuaca menggunakan laporan yang dimuat turun daripada Agensi Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika.

Syarikat penerbangan itu tidak mempunyai pegawai operasi penerbangan (FOO) untuk menjalankan taklimat mandatori kepada juruterbang berhubung keadaan cuaca, tidak seperti syarikat penerbangan utamanya termasuk Garuda Indonesia, Lion Air, Sriwijaya Airlines dan Citilink, Wall Street Journal melaporkan.

Menteri Pengangkutan Ignatius Jonan mengecam eksekutif AirAsia Indonesia semasa lawatan beliau ke pejabat syarikat penerbangan itu di Tangerang, Banten, minggu lalu.

Beliau dilaporkan bercakap dalam 'nada tinggi dan marah' selepas seorang pengarah syarikat penerbangan mencadangkan bahawa tidak menjadi satu keperluan bagi seorang juruterbang diberi taklimat cuaca oleh FOO sebelum berlepas.

"Apabila kita menetapkan peraturan, anda mesti mematuhinya. Jangan cuba melanggarnya. Saya boleh membatalkan lesen anda," menteri itu dipetik sebagai berkata pada Selasa oleh portal berita Kompas.com.

Beberapa juruterbang, bagaimanapun, menolak dakwaan tersebut. Seorang juruterbang kanan, Sardjono Jhony Tjitrokusumo, menyifatkan teguran itu sebagai tidak berasas, Jakarta Globe melaporkan.

"Jangan membangkitkan perkara seperti itu dan berkata juruterbang bersalah jika mereka tidak menjalani taklimat. Ia bukan sebahagian daripada proses-proses yang dikehendaki (sebelum berlepas)," kata Sardjono dalam satu kenyataan bertulis yang dihantar kepada media Indonesia.

Beliau berkata juruterbang biasanya membaca tentang keadaan cuaca tetapi tidak menghadiri taklimat.

"Tidak ada perkara-perkara seperti juruterbang diberi taklimat sebelum penerbangan. Juruterbang syarikat penerbangan di seluruh dunia melakukannya dengan sendiri. Mereka mendapatkan maklumat cuaca yang dicetak dari sistem yang digunakan oleh syarikat penerbangan (masing-masing); maklumat yang disediakan sebelum mereka terbang," Jakarta Globe memetik Sardjono sebagai berkata.

"Bolehkah anda bayangkan jika semua juruterbang semua penerbangan mesti diberi taklimat mengenai keadaan cuaca? Berapa ramai daripada mereka perlu beratur untuk tujuan itu? Jangan mengarut, terutama bagi mereka yang tidak mempunyai pengetahuan tentang penerbangan, " katanya.

Beliau menggesa semua pihak supaya menunggu hasil siasatan ke atas penerbangan QZ8501  oleh Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT) dan menahan diri daripada membuat ulasan yang tidak perlu.

Dalam satu lagi surat terbuka kepada menteri pengangkutan, juruterbang Fadjar Nugroho berkata BMKG pada masa kini mempunyai beberapa waktu yang membolehkan juruterbang mengakses maklumat cuaca yang sentiasa dikemas kini di laman webnya dan maklumat itu juga adalah yang sama seperti yang diberikan di dalam taklimat.

"Oleh kerana maklumat cuaca penerbangan boleh didapati di laman web BMKG, ramai rakan-rakan saya, rakan-rakan juruterbang dan FOO tidak perlu lagi datang ke pejabat taklimat. Jangan beri nasihat pengajaran, kerana kami mendapatkan maklumat cuaca dari Internet, '' katanya.

Pakar penerbangan Ruth Hanna Simatupang memberitahu Jakarta Post bahawa taklimat mandatori kepada juruterbang oleh FOO adalah SOP.

"Tiada apa-apa yang baharu tentang polisi itu. Ia adalah satu standard yang telah digunakan secara tetap di dunia. Ia adalah salah satu daripada masalah dalam sistem penerbangan kami. Terdapat banyak masalah yang perlu ditangani dalam sistem penerbangan kami .

"Apa Jonan (Menteri Pengangkutan) lakukan hanyalah peringatan supaya melaksanakan polisi sedia ada yang tidak dilaksanakan," kata Hanna, yang merupakan bekas penyiasat KNKT.

Beliau berkata taklimat itu akan mengambil masa tidak lebih 20 minit dan FOO akan memberikan semua dokumen yang diperlukan seperti laporan cuaca untuk diteliti oleh juruterbang.

"Selepas itu, juruterbang akan membuat rancangan penerbangan mereka dan kemudian menyerahkannya kepada FOO untuk cadangan atau idea kedua. Kemudian, FOO akan mengemukakan rancangan penerbangan yang dibincangkan kepada kawalan trafik udara yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata kementerian pengangkutan mesti menugaskan lebih ramai pemeriksa di lapangan untuk memastikan dasar itu dilaksanakan secara serius oleh syarikat penerbangan.

Kementerian Pengangkutan Indonesia kini telah menjadikan taklimat FOO sebagai wajib sebelum berlepas.

"(Taklimat tersebut) bukan sahaja tentang cuaca. FOO juga perlu mengesan jika juruterbang tidak berada dalam kesihatan yang baik," kata Djoko Murjatmodjo, yang bertindak sebagai ketua pengarah penerbangan di kementerian.

Ketiadaan taklimat FOO kepada juruterbang bukanlah satu-satunya masalah yang terdapat di AirAsia Indonesia. Syarikat penerbangan itu sedang berdepan dengan kawalan yang dipertingkatkan selepas Kementerian Pengangkutan berkata penerbangan QZ8501 terbang tidak mengikut jadual ditetapkan.

Syarikat penerbangan itu hanya dibenarkan untuk terbang di laluan Surabaya-Singapura hanya pada hari Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu, tetapi penerbangan QZ8501 berlepas pada hari Ahad.

Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan pihak berkuasa lapangan terbang dan syarikat penerbangan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang memberi kelulusan terhadap penerbangan yang tidak dibenarkan. -Straits Times / ANN
Tags / Kata Kunci: Qz8501 , juruterbang Indonesia

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan