Pameran 1,600 Panda Curi Tumpuan Lebih 5,000 Pengunjung

Diterbitkan: Selasa, 6 Januari 2015 4:54 PM

Idris (dua,kiri) bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka, Datuk Zainal Husin (dua,kanan) tertarik dengan patung panda sempena Siri Jelajah Dunia 1,600 Panda di Dataran Stadhuys, Bandar Hilir di sini, Selasa.

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Pameran 1,600 panda yang diadakan sehari di Dataran Stadthuys, Bandar Hilir di sini, Selasa berjaya menarik perhatian lebih 5,000 pengunjung terutamanya pelancong asing.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata selain menjadi tarikan pelancong, pameran yang menampilkan patung berbentuk panda dalam pelbagai aksi itu disusun di jalan dan tangga kawasan itu sekali gus menimbulkan kesedaran orang ramai tentang konservasi panda.

"Pemilihan lokasi ini yang menjadi tumpuan pelancong amat bertepatan bagi menarik ramai orang supaya sayang terhadap panda ini seterusnya menimbulkan kesedaran tentang betapa pentingnya konservasi panda terutamanya dalam kalangan generasi muda.

"Kita alu-alukan penganjuran pameran ini lagi selepas ini, jika boleh hari-hari nak anjurkan pun tidak apa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran itu di Bandar Hilir di sini, Selasa.

Pameran itu sedang dalam penjelajahan ke 15 lokasi seluruh negara termasuk Dataran Putrajaya, Batu Caves di Selangor dan Menara Condong Teluk Intan di Perak dengan Malaysia merupakan negara ketiga penganjuran pameran yang bermula pada 2008 itu.

Sementara itu, Idris berkata kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyelesaikan masalah projek terbengkalai di negeri ini.

"Projek terbengkalai itu bernilai kira-kira RM150 juta yang kita mahu ambil tindakan pantas tahun ini juga," katanya.

Tags / Kata Kunci: panda , Bandar Hilir , Idris Haron

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan