Kesiapsiagaan Nasional Hadapi Musibah Penting - Ahmad Shabery

Diterbitkan: Selasa, 6 Januari 2015 11:16 AM

Penduduk Kampung Aur Gading, Kuala Lipis, Sarimah Mat Yatim, 82, termenung mengenang nasib setelah rumahnya rosak teruk akibat arus deras Sungai Tanum dalam kejadian banjir besar 23 Disember lepas, di sini, Isnin.

(Ubah saiz teks)

KEMAMAN: Bencana alam seperti banjir yang tidak dapat diramal menyebabkan kesiapsiagaan dalam menghadapi banjir menjadi keutamaan kepada negara kita, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Apa tidaknya, banjir yang teruk melanda beberapa negeri termasuk  keseluruhan Kelantan baru-baru ini dan Kemaman, tahun lalu perlu dijadikan pengajaran dan Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan banjir juga perlu dilakukan penambahbaikan agar segala permasalahan berbangkit dapat ditangani sebaik mungkin, katanya.

Menurut Ahmad Shabery, sudah tibanya masanya agar seluruh sistem dalam negara termasuk rakyat negara ini dididik bagaimana melakukan persediaan menghadapi sebarang bentuk musibah.

"Bila bencana banjir kini sudah surut, saya rasa kita sudah patut  memikirkan dan melihat kembali betapa pentingnya kesiapsiagaan nasional untuk menghadapi apa jua bencana dan masalah yang kita sendiri tidak ketahui bila akan berlakunya.

"Jadi kesiapsiagaan nasional itu mesti ada suatu penanda aras baharu yang mesti disusun kembali mengenai apa yang dimaksudkan dari segi komunikasi dan peralatan serta aset kita... adakah kita bersedia atau tidak?," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata demikian selepas majlis gotong-royong membersihkan Sekolah Kebangsaan Pasir Gajah di sini yang terjejas teruk akibat ditenggelami air banjir setinggi tiga meter.

Menurut Ahmad Shabery, ketahanan nasional mungkin sering diperkatakan namun kesiapsiagaan nasional yang jarang diperkatakan itu lebih kepada membina dan mengukur keupayaan negara dalam semua aspek termasuk kewangan, infrastruktur, aset, alat komunikasi, persiapan penggemblengan tenaga dan sebagainya.

Ketahanan nasional ialah satu keadaan sesuatu bangsa itu yang memiliki ketabahan dan kekuatan untuk terus berkembang dalam menghadapi, mengatasi segala tentangan serta hambatan dan ancaman, sama ada yang muncul dari dalam mahupun luar negara, menerusi kelengkapan ketenteraan.

Katanya, pemikiran dan pemahaman rakyat Malaysia mengenai kesiapsiagaan  nasional masih belum memuaskan dan belum menjadi suatu pemikiran yang berakar umbi dalam sistem negara kita.

Selain kerugian jutaan ringgit, bencana banjir besar yang menenggelamkan Kuala Krai, bukan sahaja telah merosakkan infrastruktur awam dan harta benda malah telah menyebabkan trauma kepada penduduk kerana kelewatan bantuan selain bekalan makanan yang tidak mencukupi berikutan terputusnya hubungan darat mahupun telekomunikasi.

Justeru, melihat permasalahan yang dihadapi mangsa banjir, Ahmad Shabery menyarankan agar kerajaan mempertimbang untuk mewujudkan polisi insurans banjir buat rakyat negara ini bagi membela kebajikan mereka seandainya ditimpa bencana alam itu.

Penduduk Kampung Awah, Maran, Abu Talib Mohamad, 52, dan isterinya, Saimah Omar, 46 giat membasuh perkakas dapur yang disaluti lumpur di hadapan rumah yang masih digenangi air.


Beliau berkata, kerajaan boleh mengadakan perbincangan dengan syarikat  insurans agar dapat mewujudkan polisi insurans yang boleh memanfaatkan semua pihak terutamanya mangsa bencana.

Langkah itu dilihat wajar ke arah memastikan keberkesanan kesiapsiagaan nasional dalam menghadapi banjir terutama musim tengkujuh yang melanda negara ini.

Bagi mencapai matlamat itu, katanya skim insurans itu dicadang dicarum melalui pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada tahun depan sebagaimana, manfaat Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) yang dilaksanakan mulai tahun lepas.

"Potongan itu tak kiralah sama ada RM50 hingga RM100 dicarum untuk insurans dan pandangan saya biarlah pakar dalam bidang ini melihatnya dahulu dan jika jumlah itu tidak membebankan, caruman itu mampu memberi keuntungan kepada mangsa banjir mendapat ganti rugi dan pembelaan yang sewajarnya," katanya.

Kerajaan semasa pembentangan Bajet 2014, memperkenal i-BR1M, pelan insurans takaful, dengan tuntutan boleh dibuat sehingga RM30,000 bagi kematian disebabkan kemalangan dan kemalangan mengakibatkan hilang upaya kekal serta menyeluruh, dan RM1,000 untuk kematian biasa.

Tags / Kata Kunci: Ahmad Shabery Cheek , banjir , SOP

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan