Kerajaan Berusaha Pastikan Pelajar Tidak Terjejas Ikuti Sesi Persekolahan

Diterbitkan: Isnin, 5 Januari 2015 3:14 PM

Muhyiddin (tengah) sempat bergambar dengan sukarelawan kementeriannya sebelum melepaskan Misi Sukarelawan Kementerian Pendidikan Pasca Banjir yang akan membersih dan membaiki sekolah terjejas banjir di sekitar Gua Musang Kelantan, di lobi kementeriannya di sini, Isnin.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kerajaan berusaha untuk memastikan pelajar dan pembelajaran di kira-kira 300 sekolah yang terjejas akibat banjir dapat memulakan sesi persekolahan mengikut jadual, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, selain berharap usaha membaik pulih sekolah yang terjejas dapat disegerakan, langkah sementara juga dipertimbangkan iaitu dengan menempatkan pelajar di sekolah berhampiran sekiranya sekolah terjejas masih belum dapat digunakan apabila sesi persekolahan bermula.

"Kalau (tumpang) untuk sebulan dua bolehlah, tapi kalau setahun, tak bolehlah," kata Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan ketika berucap semasa melepaskan Misi Pasca Banjir Sukarelawan Kementerian Pendidikan di kementerian itu di sini, Isnin.

Sesi persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 ditangguh selama seminggu akibat banjir yang melanda.

Sesi persekolahan baharu bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor bermula 11 Januari (Ahad) manakala negeri-negeri lain 12 Januari (Isnin).

Muhyiddin berkata, pelajar yang tidak mempunyai pakaian seragam sekolah yang mungkin rosak akibat banjir diberi kelonggaran untuk berpakaian biasa ke sekolah.

Beliau berkata, tugas membaik pulih sekolah adalah kritikal memandangkan sesi persekolahan semakin hampir.

Katanya beliau telah meminta Ketua Setiausaha kementerian agar memudahkan pemberian kontrak pembaikan dan pembekalan alatan sekolah dipermudahkan bagi membolehkan sesi pembelajaran dapat berlangsung.

"Mengikut perkiraan awal hampir 300 buah sekolah rosak, perlu dibaik pulih termasuk alatan juga harus diganti... ini perlu disegerakan," katanya.

Berhubung kerosakan sekolah, beliau berkata perkiraan awal mendapati ia mencecah RM350 juta, namun ia boleh mencapai sehingga RM500 juta apabila taksiran sepenuhnya dibuat kelak.

Mengenai objektif sukarelawan kementerian, Muhyiddin berkata misi utama kumpulan yang turut dibantu anggota daripada Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) itu adalah membersihkan sekolah dan kawasan sekitarnya.

"Jadi sukarelawan ini ada tugas mencabar kerana perlu membersihkan sekolah sebelum sesi pengajian bermula," katanya, sambil menambah sebagai simbolik seramai 120 sukarelawan yang dilepaskan hari ini akan melakukan kerja-kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan Gua Musang, Kelantan.

Timbalan perdana menteri berkata untuk memastikan misi itu mencapai matlamatnya kementerian pendidikan akan menggerakkan 50,000 sukarelawan ke semua sekolah yang dilanda banjir.

Hadir sama Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh dan dua ketua setiausaha kementerian itu Datuk Dr Madinah Mohamad dan Prof Datuk Dr Zaini Ujang.

Tags / Kata Kunci: banjir , sesi persekolahan , Muhyiddin Yassin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan