Tiada Pemilihan Semula Cawangan Merlimau Utara Kerana Tempoh Lanjutan - MIC Melaka

Diterbitkan: Isnin, 5 Januari 2015 9:35 PM

M.S Mahadevan.

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Pemilihan semula bagi cawangan Merlimau Utara (dalam MIC bahagian Jasin) tidak diadakan seperti sepatutnya dalam tempoh 30 hari yang berakhir hari ini, berikutan MIC pusat memperoleh tempoh lanjutan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Pengerusi MIC Melaka Datuk M.S Mahadevan, bagaimanapun berkata beliau tidak pasti berapa lama tempoh lanjutan yang diperoleh MIC pusat daripada ROS itu.

"MIC peroleh tempoh lanjutan itu melalui perbincangan antara Presiden MIC (Datuk Seri G. Palanivel) dan pihak berkaitan dengan ROS," katanya.

Pada 5 Disember lepas, ROS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi 23 jawatan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan tiga jawatan naib presiden dalam tempoh 90 hari berikutan aduan mengenai penyalahgunaan kuasa dan perlakuan yang melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan.

ROS juga mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi lapan bahagian dalam tempoh 60 hari iaitu Bayan Baru, Bukit Gelugor, Subang, Bandar Baru Kulim, Taiping, Tambun, Sepang dan Jasin.

ROS juga mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula untuk jawatan Timbalan Pengerusi MIC Bahagian Batu Kawan, Ketua Bahagian MIC Bahagian Kota Raja, Ketua Bahagian Tanjung Malim dan ketua cawangan bagi Cawangan Taman Koperasi Polis dalam tempoh 30 hari.

Dua cawangan, Merlimau Utara dan Rumah Pangsa Pekeliling Selatan juga diarah mengadakan pemilihan semula dalam tempoh 30 hari.

ROS menasihatkan MIC supaya menangguhkan perhimpunan agung tahunan sehingga masalah itu diselesaikan.

"Pemilihan (di Jasin dan Merlimau Utara) tempoh hari mengikut semua peraturan tetapi saya akan rujuk kembali kepada ibu pejabat MIC sekiranya perlu kita buat pemilihan semula," kata Mahadevan.

Pada Ahad, Palanivel menerusi kenyataan berkata MIC telah menghantar surat kepada ROS pada Jumaat lepas memohon untuk diberikan tempoh lanjutan mengadakan pemilihan semula.

Mahadevan berkata kemelut yang melanda MIC sekarang disebabkan sikap sesetengah pihak dalam MIC yang sengaja menimbulkan kekeliruan dalam kalangan anggota parti itu untuk kepentingan diri mereka sendiri.

"Saya percaya kita dapat selesaikan dengan baik bersama ROS, saya ingin menegaskan Presiden MIC (Palanivel), saya dan juga rakan pimpinan lain tidak akan sama sekali membenarkan MIC dibatalkan pendaftarannya," kata Mahadevan.

Di GEORGE TOWN, Pengerusi MIC Pulau Pinang M. Karuppanan memberitahu Bernama pihaknya sedang menunggu maklumat berhubung lanjutan masa bagi pemilihan semula membabitkan negeri itu daripada Palanivel.

Beliau berkata pihaknya tidak jelas sama ada rayuan kepada ROS untuk lanjutan masa diluluskan atau sebaliknya.

Karuppanan juga mendakwa ROS membuat kesilapan dalam maklumat berhubung kawasan Batu Kawan kerana ia sepatutnya pemilihan semula Naib Pengerusi cawangan Simpang Ampat, bahagian Batu Kawan dan bukannya untuk jawatan Timbalan Pengerusi bahagian Batu Kawan.

Mengenai kenyataan Ketua MIC Bahagian Bayan Baru Datuk M. Nyanasegaran yang mempersoal ketelusan pelantikan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Disiplin MIC yang baharu, Karuppanan berkata pelantikan itu adalah sah.

"Pelantikan itu tidak melanggar perlembagaan parti kerana penubuhan Jawatankuasa Disiplin itu disokong CWC sejak dulu lagi dan sebarang penukaran anggota baharu boleh ditentukan presiden," katanya.

Pada Ahad, Nyanasegaran mempersoal ketelusan pelantikan itu kerana ia perlu disokong CWC mengikut Artikel 55 Perlembagaan parti, oleh itu dakwanya ia tidak sah kerana ROS mengarahkan MIC untuk melakukan pemilihan semula.

Sementara itu, MIC Perak tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan penjelasan mengenai pemilihan semula membabitkan negeri berkenaan.

Tags / Kata Kunci: MIC

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan