Kerajaan Belanja RM800 Juta Setakat Ini Bantu Mangsa Banjir

Diterbitkan: Isnin, 5 Januari 2015 4:23 PM

Ahmad Maslan (duduk,tiga dari kiri) sempat melayan kanak-kanak bermain congkak semasa melawat mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Pesagi, Chenor, di Maran pada Isnin. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

MARAN: Kerajaan setakat ini membelanjakan kira-kira RM800 juta menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membantu mangsa di negeri-negeri yang terlibat dalam musibah banjir baru-baru ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata peruntukan berkenaan digunakan bagi membekalkan makanan, operasi logistik dan pembersihan rumah-rumah mangsa yang terlibat dalam musibah itu.

"Kerajaan juga sedang bersiap sedia mengeluarkan peruntukan luar jangka sekiranya banjir melanda semula, namun setakat ini jumlah peruntukan tersebut belum ditentukan lagi," katanya kepada pemberita pada Program Misi Kemanusiaan Bantuan Banjir Kementerian Kewangan melalui Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dekat sini, Isnin.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia Pahang Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Pengerusi Yayasan 1MDB Datuk Dr. Shamsul Anwar Sulaiman.

Ahmad berkata kerajaan juga sudah bersedia untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir, bagaimanapun agihan itu hanya akan diberikan setelah mendapatkan senarai lengkap nama mereka yang terjejas akibat banjir. 

"Kita bersedia, kalau arahan minta selesai bulan Januari, kita selesaikan, namun masalahnya ialah pendaftaran mangsa banjir ... difahamkan ada yang tak berpindah, duduk di lereng bukit, rumah rakit .. .pendaftaran perlu rapi supaya yang layak tu menerima," katanya.

Ahmad berkata kerajaan memerlukan berbilion ringgit bagi memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir dan memulihkan semula kawasan serta negeri-negeri yang mengalami banyak kemusnahan infrastruktur dan kerugian akibat banjir.

"Sebab itu keputusan kerajaan melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (CBP) (mulai 1 April) adalah satu keputusan yang tepat kerana ia boleh menampung hasil negara akibat kekurangan hasil petroleum.

"Maka saya harap rakyat berlapang dadalah apabila dikenakan CBP kelak kerana sebahagian besar cukai berkenaan digunakan bagi proses pemulihan selepas banjir dan membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap lebih ramai sukarelawan khususnya penuntut institut pengajian tinggi, pelatih Giat Mara dan kolej komuniti turun padang bagi membantu mangsa-mangsa banjir membersihkan rumah mereka.

Pada program itu, Ahmad turut melawat mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Pesagi di sini bersama-sama sukarelawanan 1MDB dengan menaiki bot manakala Yayasan 1MDB turut menyumbangkan bekalan makanan dan alat membersih kediaman kepada penduduk seperti sabun.

Tags / Kata Kunci: Ahmad Maslan , banjir , RM800 juta

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan